Tentera Israel Membunuh 3 Rakyat Palestin, Mencederakan Puluhan Dalam Insiden Tembak Menembak Di Jenin

Pasukan khas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya tiga orang Palestin dan mencederakan lebih puluhan yang lain semasa pertempuran sengit yang berlaku antara pejuang muqawamah dan pasukan rejim setelah melakukan serbuan yang terkini di bandar Jenin di Tebing Barat utara yang diduduki.

Kementerian Kesihatan Palestin mengatakan dalam satu kenyataan pada hari Isnin bahawa sekurang-kurangnya 45 orang Palestin cedera akibat tembakan peluru hidup dan beberapa disenaraikan dalam keadaan serius dan kritikal, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Kementerian itu mengenal pasti mangsa rakyat Palestin itu sebagai Khaled Asa’sah, 21, Ahmad Saqer, 15, dan Qassam Abu Siryie, 29.

Menurut sumber tempatan, pertempuran ganas meletus antara pasukan tentera Israel dan lelaki bersenjata Palestin di kem pelarian Jenin dan kejiranan al-Jabriyat, dengan pejuang muqawamah meletupkan bahan letupan buatan sendiri ketika kenderaan tentera Israel melintas.

Letupan telah mengakibatkan beberapa kenderaan rosak dan terbakar.

Rakaman yang dikongsi oleh media Palestin menunjukkan kenderaan tentera Israel yang diliputi asap setelah kelihatan ianya terkena alat letupan buatan sendiri tersebut.

Klip lain pula menunjukkan kenderaan tentera Israel terkena tembakan. Tembakan dan letupan dapat didengar di seluruh bandar dalam klip lain yang dikongsi dalam talian.

Stesen televisyen TV7 Israel News melaporkan bahawa sekurang-kurangnya enam tentera Israel cedera akibat letupan yang melanda jip tentera mereka.

Saluran itu menambah bahawa alat letupan mengenai jip itu dan menembusnya. Tentera yang cedera dipindahkan semasa kejadian tembakan masih berlangsung ke persimpangan Gilboa ( al-Jalama ) dan dari sana ke hospital berhampiran dengan helikopter.

Klip video yang disiarkan oleh media Palestin juga menunjukkan helikopter Apache Israel melancarkan peluru berpandu ke sasaran dan menyebarkan suar terhadap bandar tersebut.

Rakaman itu juga menunjukkan kawasan berhampiran bangunan yang dibedil beberapa kali oleh peluru berpandu helikopter, dalam apa yang menandakan serangan udara pertama di Tebing Barat selama bertahun-tahun.

Briged Jenin, sayap tempatan kumpulan muqawamah Jihad Islam Palestin, mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa anggotanya telah meletupkan alat letupan berhampiran kenderaan tentera Israel dan kemudian menyasarkan kenderaan-kenderaan itu dengan tembakan.

Ketegangan telah meningkat di Tebing Barat yang diduduki sejak setahun yang lalu, dengan tentera Israel melakukan serbuan ganas dengan dalih menahan apa yang disebutnya sebagai “rakyat Palestin yang dilehendaki” .

Akibat serangan ini, hampir 160 orang Palestin, termasuk 28 kanak-kanak, telah kehilangan nyawa dan kebanyakan yang lain ditangkap pada tahun 2023.

 

 

 

Sumber berita: Press TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *