Jerman akan menutup tiga konsulat Iran di negaranya sebagai tindak balas terhadap perlaksanaan hukuman mati terhadap warga Jerman-Iran, Jamshid Sharmahd, kata Menteri Luar Annalena Baerbock pada Khamis.
“Kami sudah berulang kali dan dengan tegas menjelaskan kepada Tehran bahawa hukuman mati terhadap warga Jerman akan membawa akibat yang serius,” kata Baerbock, mengumumkan penutupan konsulat di Frankfurt, Munich dan Hamburg, menerusi pengumuman disiarkan di televisyen.
Perlaksanaan hukuman mati, yang diumumkan pada Isnin lalu, mencetuskan protes diplomatik, dengan Canselor Olaf Scholz menggelarnya sebagai ‘skandal’.
“Hakikat bahawa pembunuhan ini berlaku berdasarkan perkembangan terkini di Timur Tengah menunjukkan bahawa rejim diktator (Iran) yang tidak adil… tidak bertindak mengikut logik diplomatik biasa.
“Ia bukan tanpa sebab bahawa hubungan diplomatik kita sudah berada pada tahap terendah sepanjang masa,” kata Baerbock.
Menurut Kementerian Luar, penutupan konsulat itu akan menjejaskan sejumlah 32 kakitangan.
Kementerian Luar Iran bertindak balas pada petang Khamis dengan mengecam dan menyifatkan keputusan dibuat Jerman itu sebagai tidak rasional dan tidak boleh dibenarkan.
Duta Berlin ke Tehran turut dipanggil untuk menyampaikan bantahan Iran.
Baerbock tidak menyebut kedutaan Iran di Berlin tetapi berkata, Jerman akan terus mengekalkan saluran diplomatik dan kedutaan di Tehran.
“Antara sebab lain, ini perlu supaya kerajaan terus mendesak supaya warga Jerman lain dibebaskan yang ‘rejim ditahan secara tidak adil’,” katanya.
Terdahulu, Sharmahd, 69, dijatuhi hukuman mati pada Februari tahun lalu kerana terbabit dalam rasuah dan satu hukuman yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Agung Iran.
Dia juga disabitkan bersalah memainkan peranan dalam pengeboman masjid pada 2008 di bandar selatan Shiraz, di mana 14 orang terbunuh dan 300 cedera.
Iran mempertahankan hukuman matinya dan mengisytiharkan bahawa pasport Jerman tidak memberikan kebebasan kepada sesiapa, apatah lagi penjenayah mahupun pengganas.
Sumber berita: Harian Metro
