Angkatan Tentera Yaman menjalankan enam operasi ketenteraan dalam tempoh 72 jam yang lalu menggunakan sejumlah besar peluru berpandu balistik dan dron
Jurucakap Angkatan Tentera Yaman, Yahya Sare’e, mengumumkan bahawa pasukan tentera laut dan pasukan peluru berpandu telah menjalankan empat operasi bersama yang menyasarkan empat buah kapal, termasuk kapal Amerika (MAERSK SARATOGA) di Teluk Aden, kapal Amerika (APL DETROIT) di Laut Merah, kapal British (HUANG PU) di Laut Merah, dan kapal PRETTY LADY, yang dalam perjalanan ke pelabuhan di Palestin yang diduduki.
Angkatan Tentera menyatakan bahawa tentera udara melaksanakan operasi ketenteraan khusus yang menyasarkan dua kapal perang pemusnah Amerika di Laut Merah.
Pasukan peluru berpandu pula menjalankan operasi ketenteraan yang menyasarkan beberapa sasaran Israel di kawasan Umm al-Rashrash, selatan Palestin yang diduduki.
Jurucakap Angkatan Tentera menekankan kejayaan pencapaian ke atas objektif mereka.
Angkatan Tentera Yaman mendedikasikan operasi ketenteraan ini kepada semua Mujahidin dalam paksi muqawamah Palestin di Semenanjung Gaza, mengesahkan komitmen mereka untuk menjalankan operasi selanjutnya terhadap semua sasaran musuh.
Mereka juga menegaskan keputusan mereka untuk menghalang pelayaran atau kapal Israel di Laut Merah, Arab dan Lautan Hindi yang menuju ke pelabuhan di Palestin yang diduduki sehingga pencerobohan tamat dan pengepungan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza ditarik balik.
Terdahulu, Angkatan Tentera mengumumkan untuk memperluaskan skop operasi mereka terhadap kapal Israel, kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel, atau mereka yang menuju ke pelabuhan Palestin yang diduduki, untuk memasukkan Lautan Hindi jauh ke Tanjung Harapan.
Sejak bermulanya kempen ketenteraan tanpa henti rejim Israel terhadap Gaza pada awal Oktober, Yaman secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin menentang penjajahan Israel.
Israel memulakan perang genosid ke atas Gaza pada 7 Oktober selepas kumpulan muqawamah Palestin Hamas menjalankan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap entiti perampas itu sebagai tindakan balas terhadap kekejamannya yang semakin sengit terhadap rakyat Palestin.
Rejim Tel Aviv juga telah mengenakan “pengepungan sepenuhnya” ke atas wilayah itu, memotong bahan api, elektrik, makanan, dan air kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang tinggal di sana.
Sejak permulaan serangan, rejim Tel Aviv telah membunuh lebih 32,414 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 74,787 yang lain.
Angkatan Tentera Yaman telah melakukan serangan baru-baru ini ke atas kapal yang mempunyai hubungan dengan Israel berhampiran pelabuhan Yaman, termasuk pemintasan dan penyitaan kapal yang dikaitkan dengan rejim Tel Aviv pada 19 November.
Serangan maritim telah memaksa beberapa syarikat perkapalan dan minyak terbesar dunia untuk menggantung transit melalui salah satu laluan perdagangan maritim yang paling penting di dunia.
Kapal tangki sebaliknya menambah jarak pelayaran beribu-ribu batu dengan belayar di sekitar benua Afrika daripada melalui Terusan Suez.
Sumber berita: AlMasirah Yaman
