Gelombang serangan baru telah menyasarkan bandar pelabuhan strategik Hudaydah di Yaman barat, hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap sasaran di Yaman untuk hari kedua berturut-turut selepas gerakan muqawamah Ansarullah memberi amaran ia akan bertindak balas terhadap beberapa siri serangan ke atas fasilitinya.
Sumber tentera yang bersekutu dengan Kerajaan Penyelamat Nasional yang berpangkalan di Sana’a memberitahu agensi berita AFP bahawa tapak di pinggir Hudaydah, yang digunakan oleh pejuang Ansarullah untuk melancarkan roket telah diserang.
Sumber itu menambah bahawa tidak jelas sama ada serangan itu datang dari laut atau udara. Satu sumber polis telah mengesahkan serangan baru itu.
Terdahulu pada hari Sabtu, Pemerintah Pusat tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata bahawa peluru berpandu Tomahawk ditembak dari kapal Tentera Laut AS, USS Carney dan mengenai tapak radar yang dikendalikan oleh tentera Yaman.
Ia menyifatkan serangan itu sebagai “tindakan susulan” yang berkaitan dengan serangan hari sebelumnya.
Rangkaian televisyen berbahasa Arab Yaman al-Masirah berkata pangkalan udara al-Dailami di ibu negara Sana’a telah dilanda pengeboman terbaru.
Nasreddin Amer, Timbalan Menteri Penerangan dalam pentadbiran yang berpangkalan di Sana’a berkata serangan semalaman AS tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan.
“Tiada kecederaan, tiada kerosakan materi atau kehilangan nyawa manusia dialami,” kata Amer, sambil menambah bahawa Ansarullah akan kembali dengan “tindak balas yang tegas, kuat dan berkesan”.
Sementara itu, jurucakap Ansarullah Mohammed Abdul-Salam memberitahu Reuters serangan AS tidak akan menghalangnya daripada melancarkan serangan ke atas kapal milik Israel atau kapal dagang yang menuju ke pelabuhan Israel.
Rakyat Yaman telah mengisytiharkan sokongan terbuka mereka untuk perjuangan Palestin menentang penjajahan Israel sejak rejim itu melancarkan perang dahsyat ke atas Gaza pada 7 Oktober selepas gerakan muqawamah Palestin di wilayah itu melakukan serangan balas mengejut, yang digelar Operasi Taufan Al-Aqsa, terhadap entiti penjajah.
Kempen ketenteraan Israel terhadap Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 23,843 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Seramai 60,317 orang yang lain telah mengalami kecederaan.
Beberapa laporan mendedahkan bahawa syarikat perkapalan Israel telah pun memutuskan untuk mengubah laluan pelayaran kapal mereka kerana takut diserang oleh tentera Yaman.
Tentera Yaman juga telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran di wilayah yang diduduki Israel selepas pencerobohan rejim itu ke atas Gaza.
Sumber berita: Press TV
Foto: Al-Manar English Website
