Tentera Israel pada Ahad menyiarkan tiga lagi nama askar yang terbunuh dalam pertempuran di utara Semenanjung Gaza sejak petang Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan terbunuh 11 orang, lapor Anadolu Agency.
Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa “Mejar Tentera Simpanan Yakir Biton (34 tahun), Mejar Tentera Simpanan Hayna Yahalom (35 tahun), dan Staf Sarjan Rani Tahan (40 tahun) terbunuh dalam pertempuran di utara Semenanjung Gaza.”
Pada petang Sabtu, tentera Israel mengumumkan kematian enam askar, yang kemudiannya meningkat kepada lapan.
Dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu, tentera Israel berkata ia akan memperluaskan operasi daratnya ke kejiranan Al-Zaytoun di timur bandar Gaza dan kawasan Jabalia di utara Semenanjung Gaza.
Ia juga melaporkan bahawa pertempuran sengit berlaku dengan pejuang Palestin ketika mereka menyasarkan tentera Israel di darat.
2 tentera Israel dari Briged Givati terbunuh dalam pertempuran di Gaza
Tentera Israel mengumumkan pada hari Ahad bahawa dua askarnya yang berkhidmat dalam unit elit Briged Givati terbunuh dan empat yang lain cedera parah semasa pertempuran darat di Semenanjung Gaza. Kedua-dua staf yang terbunuh berusia 23 dan 21 tahun.
Terdahulu, Briged Al-Qassam, sayap bersenjata kumpulan Palestin Hamas, berkata ia membunuh “sejumlah besar” tentera Israel di tenggara Bandar Gaza.
Terdapat laporan yang bercanggah mengenai jumlah tentera Israel yang terbunuh sejak permulaan operasi darat di wilayah terkepung pada 27 Oktober. Jurucakap tentera Daniel Hagari pada hari Sabtu mengumumkan jumlah tentera yang terbunuh sejak 7 Oktober ialah 378 orang.
Sementara itu, tentera Israel pada hari Ahad mengumumkan bahawa 380 askar dan pegawai telah terbunuh sejak 7 Oktober. Majoriti dari mereka terbunuh dalam serangan mengejut ke atas pangkalan tentera Israel dan bandar-bandar di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober.
Pihak berkuasa penyiaran Israel pula melaporkan pada hari Ahad bahawa 60 tentera terbunuh dalam operasi darat di utara Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.
Minggu lalu, akhbar Israel Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa 260 askar telah cedera sejak permulaan operasi darat, termasuk 100 dalam keadaan parah.
Israel memulakan pengeboman udara ke atas Gaza selepas serangan rentas sempadan oleh Hamas bulan lalu.
Sumber berita: Middle East Monitor & Rania Abu Shamala, Anadolu Agency
