Penganalisis kanan Israel telah membuat kesimpulan bahawa tentera penjajah Israel tidak mampu untuk menghadapi peningkatan muqawamah Palestin di Tebing Barat yang dijajah, lapor Rai Al-Youm pada Selasa.
“Apa yang dihadapi oleh kenderaan tentera Israel di Jenin, termasuk bom di tepi jalan, mengingatkan kita akan apa yang telah kita lihat di Lubnan,” kata Dvir Kariv, bekas pegawai di agensi keselamatan domestik Israel Shin Bet. “Pasukan Israel mengalami serangan berulang kali, termasuk yang dilakukan oleh Jihad Islam… Tentera membincangkan untuk melindungi kenderaannya bagi menghadapi bom di tepi jalan.”
Seorang pengulas mengenai masalah ketenteraan, Roy Sharon, mengungkapkan: “Tentera Israel menghadapi peningkatan serangan di utara Tebing Barat. Rakyat Palestin berjaya dalam serangan mereka terhadap tentera dan peneroka, walaupun tentera telah berada di sana selama lebih dari satu tahun.” Beliau menambah bahawa tentera dan institusi ketenteraan gagal mengurangkan tahap serangan sementara rakyat Palestin berjaya melakukan serangan di jalan raya. “Serangan seperti itu telah mencapai tahap yang memerlukan pembuat keputusan untuk berfikir semula.”
Menurut Amir Bar Shalom, seorang lagi pengulas tentera dan keselamatan Israel, “Kami bercakap mengenai permulaan milenium kedua. Banyak pasukan tetap dilaburkan di kawasan seperti Tebing Barat, dan ketika Perang Lubnan Kedua [ 2006 ] bermula, pasukan tentera datang tanpa latihan yang mencukupi.”
Komen itu dibuat berikutan serangan bersenjata ke atas pasukan penjajah Israel berhampiran Al-Rayhan Crossing di utara Tebing Barat yang diduduki yang mencederakan lima askar, jelas Rai Al-Youm.
Sumber berita: Middle East Monitor
