4 anggota Hashd al-Shaabi terbunuh dalam serangan udara Amerika di sempadan Iraq-Syria.
Iran pada hari Isnin telah mengecam serangan udara AS terhadap pasukan bersenjata yang disokong Iran di wilayah perbatasan Iraq-Syria, dengan mengatakan serangan itu mengganggu keselamatan wilayah.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Saeed Khatibzadeh mengatakan bahawa pentadbiran Joe Biden AS ketika ini “mengikuti pendekatan bekas pemerintahan Donald Trump.”
“Tentunya apa yang dilakukan Amerika Syarikat adalah mengganggu keamanan di rantau ini, dan salah satu mangsa gangguan ini adalah Amerika Syarikat,” kata Khatibzadeh pada sidang media di Tehran. “Amerika harus memperbaiki jalannya dan berhenti menimbulkan krisis dan masalah bagi masyarakat di rantau ini.”
Empat anggota Kataib Sayyid al-Shuhada, sebuah unit dalam Hashd al-Shaabi, terbunuh dalam serangan udara Amerika di wilayah sempadan Iraq-Syria pada hari Ahad.

Serangan AS mengakibatkan kemarahan pemerintah Iraq, yang menyatakannya sebagai satu pelanggaran kedaulatan Iraq.
“Kami mengutuk dan menolak serangan AS di sempadan Iraq-Syria malam tadi. Ini adalah pelanggaran terang-terangan dan tidak dapat diterima terhadap kedaulatan Iraq dan keselamatan nasional di bawah semua perjanjian antarabangsa,” kata Yahya Rasul, jurucakap tentera Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi dalam satu kenyataan.
Sebelumnya pada hari Isnin, Amerika mengumumkan dalam kenyataan jurucakap Pentagon John Kirby bahawa mereka melancarkan serangan udara yang disasarkan “terhadap kemudahan yang digunakan oleh kumpulan pejuang yang disokong oleh Iran di wilayah sempadan Iraq-Syria.”
Kirby berkata: “Seperti yang ditunjukkan oleh serangan malam ini, Presiden Biden telah jelas bahawa dia akan bertindak untuk melindungi pegawai Amerika Syarikat. Memandangkan rangkaian serangan berterusan oleh kumpulan yang disokong Iran yang mensasarkan kepentingan AS di Iraq, Presiden mengarahkan tindakan ketenteraan selanjutnya untuk mengganggu dan mencegah serangan tersebut. ”
Tapak ketenteraan yang menempatkan tentera Amerika dan Kedutaan Amerika Suarikat di Baghdad baru-baru ini diserang roket, yang mana Washington menyalahkan pejuang bersenjata yang ada kaitan dengan Iran.
Sumber berita: Anadolu Agency
