Pada 14 Mei, jet pejuang Israel telah mengebom bangunan 15 tingkat di Gaza yang menempatkan pejabat Al Jazeera dan Asociated Press, empat hari setelah ketegangan yang terjadi baru-baru ini. IDF menuduh Hamas yang berpusat di Gaza menggunakan bangunan itu untuk tujuan perisikan ketenteraan.
Ketua Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata beliau tidak pernah menyesal menyerang bangunan yang menempatkan media antarabangsa di Gaza, walaupun mungkin merosakkan imej global Israel, Saluran 12 melaporkan pada hari Sabtu.
Ketua IDF “secara peribadi” berkongsi bahawa wartawan Associated Press, sama ada mereka sedar atau tidak, sedang menikmati minum pagi dengan petugas Hamas di kafetaria tingkat bawah di Menara Jala Gaza, di mana pejabat tempatan AP dan Al-Jazeera berada. Sebelumnya, IDF mengatakan pihaknya telah menerima maklumat mengenai risikan ketenteraan Hamas yang didakwa beroperasi di bangunan itu untuk mensasarkan senjata kawalan IDF dengan peralatan elektronik canggih.
Kohavi dilaporkan berkata, “Serangan itu dibenarkan. Saya tidak sedikitpun menyesal.”
Dalam satu kenyataan yang telah dikongsikan oleh The Time of Israel pada Sabtu malam, AP telah menafikan cerita ‘minum pagi’ itu dan mengatakannya sebagai satu penipuan. Mereka berkata tidak ada satu kafeteria pun dalam bangunan itu dan menuntut satu penyiasatan bebas diadakan bagi menyiasat kemusnahan pejabat mereka itu.
“Satu tuduhan tidak berasas yang membahayakan keselamatan wartawan AP, ” tambah kenyataan itu lagi. “Sepertimana berulang kali kami nyatakan yang kami tidak ada indikasi tentang kehadiran Hamas di bangunan itu dan kami juga tidak diberi amaran mengenai kemungkinan kehadiran itu sebelum serangan udara dilakukan. Kami tidak tahu apa bukti yang ditunjukkan oleh Israel, dan kami ingin tahu. “
Pengeboman itu mencetuskan reaksi negatif dari organisasi antarabangsa dan sejumlah negara. Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, Setiausaha Agung PBB “sangat terganggu melihat kemusnahan bangunan media” .
Sebuah organisasi bukan kerajaan, Reporters Without Borders, telah meminta Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda untuk memasukkan serangan udara Israel ke atas pihak media di Semenanjung Gaza dalam siasatannya. Pada bulan Mac, ICC mengumumkan siasatan jenayah terhadap tuduhan jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin, termasuk Gaza dan Tebing Barat, sejak 13 Jun 2014.
Bukti yang menyokong kehadiran Hamas di Menara Jala belum dikongsikan Israel kepada orang ramai. Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa ia menerima maklumat yang menyokong dakwaan sekutunya di Timur Tengah, tetapi Washington telah mengelak untuk berkongsi pandangannya mengenai perkara itu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga dilaporkan menggelar serangan itu sebagai satu “sasaran sesuai yang sah.”
Hamas dan Israel menyetujui gencatan senjata yang mana Mesir menjadi ‘orang tengah’ pada 20 Mei, susulan 11 hari keganasan yang menyebabkan kematian di kedua-dua belah pihak. Jumlah warga Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel telah mencecah 254 orang, termasuk 64 kanak-kanak, dan sekitar 1,948 cedera. Di Israel pula, 13 orang warganya telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 orang mengalami cedera parah.
Ketegangan baru-baru ini tercetus pada awal Mei berpunca dari keputusan mahkamah Israel yang berpihak kepada peneroka Yahudi yang meminta pengusiran beberapa keluarga Palestin dari kediaman mereka di Jerusalem Timur, salah satu tempat paling suci di dunia. Rakyat Palestin berharap dapat mewujudkan negara mereka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya. Israel, sebaliknya, memusuhi idea untuk mengembalikan sempadan sebelumnya dan bahkan lebih menentang idea untuk berkongsi Jerusalem, yang dianggapnya sebagai ibukota “abadi dan tidak dapat dipisahkan”.
Sumber berita: Sputnik News
