Jenayah terbaru rejim Israel dilaporkan memusnahkan bangunan media di Gaza bertujuan untuk menghentikan penyebaran maklumat mengenai pembantaian rejim haram terbabit di bumi Gaza. Situasi itu digelar sebagai “penghapusan media” oleh editor Palestin ketika memberitahu Press TV baru-baru ini.
“Israel mahu menghapuskan pihak media secara total. Israel benci kepada kebenaran dan ingin menutup mata dunia,” ujar Refaat Alareer, editor kepada Gaza Writes Back (2014), dalam wawancara melalui e-mel pada hari Ahad.
“Kemusnahan ke atas bangunan pihak media menunjukkan bagaimana rejim Israel meragut nyawa dan membantai warga Palestin dengan kekebalan total dari pihak Amerika Syarikat dan Eropah yang membenarkannya dan mempersenjatai Israel,” kata Alareer.
Pada hari Sabtu, serangan udara rejim Israel telah merobohkan bangunan 11 tingkat yang menempatkan pejabat media antarabangsa termasuk Al Jazeera dan The Associated Press.
Video Al Jazeera secara langsung menunjukkan bangunan al-Jalaa, yang juga terdapat sekitar 60 pangsapuri kediaman, roboh dibedil rejim Israel.
Serangan itu menandakan jenayah perang yang tidak bermoral oleh rejim terbabit ke atas Gaza, yang telah mengorbankan hampir 200 nyawa yang tidak berdosa, termasuk para wanita dan anak-anak kecil.
Alareer mengatakan bahawa serangan ganas rejim Israel ini adalah sebahagian daripada rancangan “penghapusan etnik” di bumi Palestin, yang direncanakan untuk menghapus warga Palestin dari tanah air mereka.
“Israel terbentuk dengan amalan penghapusan etnik, dan akan terus mengamalkannya” tegas beliau, sambil menambah bahawa hanya “rejim genosida (pembunuh kaum) yang akan membela Israel.”
Serangan udara rejim Israel telah memusnahkan beberapa bangunan kediaman di bumi Gaza pada hari Ahad, mengorbankan 42 orang, menandakan hari paling berdarah dari pembantaian rejim yang berterusan.
“Semasa Israel menghancurkan bangunan-bangunan, mereka juga mengebom laluan kenderaan untuk menghalang pasukan penyelamat dan ambulans sampai ke daerah itu sehingga memaksimumkan angka korban,” kata Alareer.
Dalam artikel New York Times minggu lalu, Alareer menulis bahawa keluarganya di Gaza merasakan ketakutan yang amat sangat ketika berhadapan dengan serangan udara rejim Israel yang bertalu-talu, dan menekankan bagaimana anak perempuannya yang berusia 8 tahun bertanya, “Bolehkah Israel menghancurkan bangunan kita jika tiada bekalan elektrik?!”
Barisan hadapan perlawanan yang berpusat di Gaza telah membalas serangan rejim Israel dengan membedil ratusan roket ke wilayah yang dijajah terbabit.
Sumber : Press TV
