Sebagaimana Pelabuhan Aden mengisytiharkan otonomi dari Yaman, ia juga memberikan pandangan mesra terhadap negara Yahudi.
Menurut sebuah artikel di Israel Today, Majlis Peralihan Selatan (STC), puak pemisah Yaman yang disokong oleh UAE merupakan “teman rahsia” Israel dan ianya sebuah negara baru di Timur Tengah yang telah diwartakan di sebalik pintu tertutup, merujuk pada wilayah yang dikuasai oleh STC yang merangkumi ibu kota sementara Aden dan baru-baru ini penyitaan pulau Socotra dari pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi.
Bahagian itu, yang mencadangkan Pelabuhan Aden “sebagai mesra negara Yahudi”, memetik sebuah sidang media baru-baru ini yang diadakan oleh STC yang menyatakan sikap positif terhadap Israel, walaupun isu hubungan diplomatik masih belum dibahas.
Hani Bin Briek, naib ketua STC, menciap bahawa “hubungan antara Israel dan Qatar sangat baik” dan juga menceritakan lawatan mantan Presiden Israel Shimon Peres ke Doha dan lawatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu baru-baru ini ke Oman. “Arab dan Israel sepakat dalam penyelesaian dua negara, dan negara-negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel.”
Sikap menormalkan hubungan dengan Israel merupakan gaya semasa di antara negara-negara Teluk, termasuk penaung STC, UAE.
Laporan itu juga menyatakan bahawa banyak orang Israel bereaksi positif dan menyambut perkembangan “sebuah negara otonomi baru di Yaman”, dengan sumber-sumber yang memberitahu Israel Today bahawa Tel Aviv telah melakukan pertemuan rahsia dengan STC.
Sementara itu, pada hari Jumaat, pemimpin gerakan Houthi, memperingatkan Arab Saudi dan UAE agar tidak menormalkan hubungan dengan Israel. “Arab Saudi dan UAE berpihak kepada Israel, yang merupakan musuh utama dunia Islam,” kata Abdul-Malik Al-Houthi dalam pidato yang disiarkan secara langsung dari ibu kota Yaman, Sanaa. Pemimpin Houthi sebelumnya telah menekankan bahawa Yaman berdiri bersama Palestin menentang penjajahan Israel.
Kumpulan yang disokong Emirat itu, dipimpin oleh mantan gabenor Aden, Aidrus Al-Zoubaidi, mengumumkan pada bulan April otonomi mereka, walaupun ia telah ditolak oleh pemerintah Yaman yang diasingkan secara antarabangsa dan juga PBB. Awal bulan ini STC juga mengesahkan telah menarik diri dari apa yang disebut Perjanjian Riyadh, yang merupakan perjanjian pembahagian kuasa yang bertujuan untuk mengakhiri konflik yang sedang berlangsung antara STC dan pasukan yang disokong Saudi di Yaman.
Sumber berita: Middle East Monitor
