Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada hari Ahad muncul di hadapan mahkamah Baitulmuqaddis bagi menghadapi perbicaraan pertama dalam perbicaraan kes rasuah, lapor Anadolu Agency.
Akhbar Israel Haaretz mengatakan ini adalah “pertama kalinya dalam sejarah negara itu di mana perdana menteri yang sedang bersidang menghadapi perbicaraan jenayah.”
Netanyahu dan peguamnya hadir pada sidang itu, dan media Israel dan antarabangsa berada di luar dengan kekuatan penuh bagi membuat liputan acara tersebut.
Beberapa menteri pemerintah dan penggubal undang-undang juga hadir dalam menunjukkan sokongan kepada Netanyahu.
Menuju ke mahkamah, Netanyahu yang berusia 70 tahun itu menuduh polis dan pendakwa bersekongkol melawannya dan meminta siaran langsung perbicaraan itu diadakan.
Perbicaraan Netanyahu yang telah ditetapkan untuk dimulakan pada 17 Mac itu ditangguhkan ke hari Ahad (semalam) di tengah-tengah kebimbangan wabak novel coronavirus.
Perdana menteri Israel itu menghadapi tuduhan rasuah dalam tiga kes yang merangkumi rasuah, pecah amanah, dan penipuan. Netanyahu telah menafikan melakukan kesalahan.
Antara lain, tuduhan terhadapnya termasuk memberi insentif secara haram sebagai balasan untuk mendapat liputan media positif dalam Yediot Aharonot, akhbar tersohor Israel.
Dia juga dituduh menerima habuan seperti cerut, minuman keras ‘champagne’ dan barangan kemas bernilai 700,000 shekels (RM856,510) sebagai sogokan daripada golongan kaya untuk melakukan perkara tertentu.
Antara tuduhan paling serius ialah dakwaan Netanyahu menawarkan pemilik media, Shaul Elovitch, untuk melakukan perubahan peraturan bernilai jutaan dolar yang menguntungkan syarikat telco miliknya, Bezeq, sebagai balasan bagi liputan positif dalam laman sesawang media Walla!
Selepas proses soal siasat berbulan lamanya oleh pihak polis, Pendakwa Raya, Avichai Mandelblit, memfailkan tuduhan Januari lalu.
Walaupun ramai meramalkan kes itu akan menamatkan kerjaya politik Netanyahu, dia masih dapat kekal menerajui parti Likud yang kini berjaya memeterai perjanjian perkongsian kuasa dengan seteru politik utamanya, Benny Gantz.
Pada bulan April, Netanyahu dan pemimpin pembangkang Benny Gantz bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan nasional.
Netanyahu, ketua parti Likud yang memerintah, dan Gantz, ketua parti Biru dan Putih, bersetuju untuk membentuk kerajaan setelah kegagalan dalam tiga pilihan raya awal yang berlangsung selama setahun.
Sumber berita: Agensi