Pemulihan Wuhan: Pusat COVID-19 di China Sedia Tarik Balik Perintah Berkurung dalam 2 Minggu

Perintah berkurung di bandar Wuhan, China, di mana COVID-19 mula pecah pada Disember, akan berakhir dalam masa dua minggu, umum kerajaan wilayah itu pada hari Selasa.

 

Langkah-langkah kawalan lalu lintas yang dilaksanakan di wilayah Hubei – di mana Wuhan merupakan ibukotanya – juga akan ditarik balik pada Rabu, walaupun orang akan memerlukan kod QR yang dikeluarkan oleh kerajaan wilayah itu yang menyatakan mereka sihat sebelum mereka dapat bergerak di sekitar wilayah itu, lapor South China Morning Post. Mesyuarat minggu lalu oleh Jawatankuasa Tetap Biro Politik Pusat Parti Komunis China menggesa Wuhan dan bahagian-bahagian lain di Hubei untuk memulakan langkah penarikan perintah berkurung secara sistematik dan teratur, lapor South China Morning Post.

 

Lain-lain bandar raya China, termasuk Shanghai dan Shenzhen, telah mengatakan bahawa mereka yang tiba dari Hubei dengan kod QR tidak lagi perlu menjalani kuarantin diri 14 hari.

 

Memandangkan China nampaknya telah dapat membendung virus itu, negara ini perlahan-lahan mula menyambung semula kehidupan normal. Dua kilang kereta di Wuhan, iaitu Dongfeng Toyota dan Dongfeng Motor, memulakan pengeluaran pada hari Isnin.

Di samping itu, para doktor yang dihantar ke Hubei dari seluruh China telah mula kembali ke wilayah asal mereka pada minggu lalu.

 

Profesor undang-undang Universiti Wuhan Qin Qianhong baru-baru ini memberitahu South China Morning Post bahawa adalah penting untuk menarik balik langkah kuarantin di Hubei secepat mungkin.

 

“Tiada negara lain selain Itali yang telah mengenakan perintah berkurung yang serupa setakat ini. Ramai orang telah terkurung di rumah mereka selama lebih dari 60 hari, dan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius, “katanya, sambil menyatakan bahawa mereka yang telah berada di bawah perintah berkurung ini tidak dapat mempertahankan hidup tanpa kembali bekerja. Walau bagaimanapun, beliau juga memberi amaran bahawa jangkitan baru mungkin timbul apabila perintah berkurung ditarik balik.

 

Wuhan melaporkan satu jangkitan coronavirus baru pada hari Selasa berikutan beberapa hari tidak ada kes baru yang dilaporkan, menurut South China Morning Post. Walau bagaimanapun, di luar Wuhan, ada 78 kes baru coronavirus di China pada hari Isnin, umum Suruhanjaya Kesihatan Nasional. Dari jumlah kes baru itu, 74 kes melibatkan warga Cina yang telah melancong ke luar negara. Hanya tiga kes, termasuk yang ada di Wuhan, adalah jangkitan transmisi tempatan.

 

Kerajaan di Beijing hari ini mengumumkan bahawa sesiapa yang memasuki bandar itu dari luar negara mesti menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarintin berpusat, lapor Reuters.

Pusat virus itu beralih dari China ke Eropah dan AS dalam beberapa minggu kebelakangan. Mengikut data terkini oleh World Meters, terdapat lebih daripada 408,000 kes yang disahkan sebagai kes jangkitan virus COVID-19 di seluruh dunia, dan lebih daripada 18,000 orang telah mati akibatnya. Itali, Amerika Syarikat dan Sepanyol terpukul dengan ketara, dengan sekurang-kurangnya 69,176, 49,594 dan 39,676 kes telah disahkan di negara masing-masing.

 

 

Sumber berita: Sputnik news

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *