Seorang lelaki tempatan positif COVID-19 yang sebelum dilaporkan sengaja ke pusat hiburan bagi menyebarkan virus itu, meninggal dunia dua hari lalu.
Lelaki berusia 57 tahun itu meninggal dunia akibat pneumonia yang disebabkan COVID-19 selain turut menghidap kanser hepatocellular.
Lelaki itu mengetahui dirinya dijangkiti virus itu pada 4 Mac, sehari selepas ibu bapanya yang tinggal bersama disahkan positif dan dimasukkan ke hospital 5 Mac lalu.
Biarpun diminta menjalani kuarantin diri pada hari disahkan jangkitan positif, lelaki itu keluar berhibur di dua kelab berasingan pada hari yang sama.
Pegawai Bandar Gamagori, yang dipetik Kyodo News, berkata lelaki itu memberitahu ibu bapanya bahawa dia mahu menyebarkan virus supaya jangkitannya lebih meluas.
Lelaki itu pergi ke sebuah bar selama 15 minit dan bergerak ke kelab hiburan Filipina yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan, untuk berkaraoke.
Di pusat hiburan itu, dia duduk sambil memeluk pelayan wanita kelab itu tetapi ujian saringan yang dijalankan mendapati wanita itu negatif.
Bagaimanapun ujian sama ke atas rakan sekerjanya pula positif, katanya pegawai dari Toyota City, tempat tinggal wanita yang dijangkiti itu.
Sebelum ini, polis menyoal siasat lelaki itu selepas dia dibenarkan keluar daripada hospital selepas pengurus kelab hiburan membuat laporan mengenai cubaan menghalang perniagaannya pada 13 Mac lalu.
Kini kedua-dua pusat hiburan itu ditutup sementara akibat kes jangkitan lelaki itu. Jepun merekodkan 924 kes COVID-19 setakat ini.
Sumber berita: Berita Harian
