TUN Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat beberapa pemimpin Hamas diketuai Ismael Haniyya, di Putrajaya, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Twitter rasmi Perdana Menteri, dengan disertakan lima gambar pertemuan berkenaan.
Dr Mahathir berkata semasa pertemuan mereka, Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau atas kesungguhan membangkitkan idea-idea baru yang berkaitan dengan dunia Islam di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) Disember lalu.
Ismael turut menyampaikan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Dr Mahathir kepada rakyat Palestin.
“Menurut pemimpin Hamas itu, Malaysia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam dunia Islam.
Beliau berkata mereka membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan perkembangan terkini dan “semua nasib buruk yang menimpa rakyat Palestin”.
“Turut dibincangkan ialah beberapa perkara berkaitan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin,” jelasnya.
Ismail tiba di Malaysia semalam selepas melawat Iran, Oman, Turki dan Qatar sejak beberapa minggu lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia berkata Mahathir dan Ismail mengkaji semula situasi warga Palestin, terutama pelanggaran terbaru Israel terhadap Jerusalem dan pencerobohan terbuka Israel terhadap Gaza.
Dr Mahathir terkenal dengan kelantangannya mempertahankan Palestin, antaranya membidas keputusan Amerika Syarikat yang tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai penempatan haram.
Pada Oktober tahun lalu, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan, bagi membolehkan Malaysia memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

Sumber berita: Harian Metro dan BERNAMA.
