Wartawan Kashmir Protes, Gesa Mansuh Sekatan Komunikasi

Sekurang-kurangnya 160 wartawan mengadakan bantahan di Kashmir Press Club, di bandar utama Srinagar berikutan sekatan perkhidmatan komunikasi yang dikenakan ke atas wilayah itu sejak 60 hari lalu.

Dengan memakai lencana hitam, penunjuk perasaan melaungkan beberapa slogan seperti ‘Kewartawanan bukan jenayah’ dan ‘Berhenti zalimi wartawan’.

Presiden Kashmir Press Club Shuja ul-Haq berkata, beberapa wartawan telah berulang kali mengusulkan permohonan kepada kerajaan India untuk memulihkan sekatan ke atas akses komunikasi dan internet di wilayah itu.

“Mereka (India) telah berjanji untuk memansuhkan sekatan itu, tetapi tiada sebarang tindakan dibuat sehingga hari ini.

“Kami memprotes sekatan media akhbar menyebabkan setiap wartawan mengalami kesusahan dan kami juga menuntut kerajaan untuk menarik balik sekatan komunikasi itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kashmir Press Club, Ishfaq Tantray berkata, media tidak sepatutnya mempunyai privasi bagi menyampaikan berita.

“300 wartawan dianggarkan telah menggunakan akses internet setiap hari, namun kelajuannya terhad. Ia juga sedang dipantau dan kami sedang dalam pengawasan,” katanya.

Beliau berkata, 250 wartawan perlu menunggu selama berjam-jam untuk pergi ke talian bagi menggunakan salah satu daripada 10 komputer, yang juga terhad digunakan selama 15 minit.

Katanya, para wartawan juga dikehendaki menulis nama mereka dalam senarai untuk menggunakan telefon bimbit, manakala wartawan asing dilarang untuk berkunjung ke wilayah utara Himalaya itu.

Selain itu, kebanyakan berita yang diterbitkan hanya terhad kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kerajaan serta artikel ringan (human interest) dan tiada apa-apa berita dibenarkan dari luar Srinagar.

Jammu dan Kashmir dikatakan terputus hubungan dengan dunia luar termasuk perkhidmatan internet dan telefon bimbit sejak 5 Ogos lalu.

India menyekat sebarang komunikasi kononnya untuk menghalang sebarang pemberontakan, sementara pemimpin politik di rantau ini turut ditahan.

Pada masa ini, hanya sebuah pusat media kerajaan beroperasi di Kashmir.

India dan Pakistan masing-masing menguasai wilayah tertentu, China turut menguasai sebahagian wilayah yang menjadi perebutan. India dan Pakistan telah melalui beberapa peperangan untuk memiliki Kashmir secara mutlak. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *