Imran Berterima Kasih Kepada Erdogan Bangkitkan Isu Kashmir di PBB

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan kerana menaikkan isu Kashmir semasa ucapan di Perhimpunan Agung PBB pada hari Selasa.

Khan memberitahu wartawan di New York bahawa beliau berharap lebih ramai pemimpin akan meminta India untuk menghentikan sekatan ke atas Kashmir.

“Kami sangat berterima kasih kerana presiden telah mengambil sikap yang sangat berprinsip,” katanya.

Khan menambah bahawa Pakistan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Turki.

Beliau juga mendedahkan bahawa Erdogan akan melawat Islamabad bulan depan.

Erdogan memberitahu Perhimpunan Agung PBB bahawa penyelesaian kepada masalah Kashmir hanya dapat dijumpai melalui dialog.

“Sehingga rakyat Kashmir dapat melihat masa depan yang selamat bersama dengan negara-negara jirannya Pakistan dan India, sangat penting untuk menyelesaikan masalah ini melalui dialog dan berdasarkan keadilan dan kesaksamaan, bukan melalui pertelingkahan,” kata Erdogan.

Jammu dan Kashmir telah berada di bawah sekatan komunikasi sejak 5 Ogos, apabila kerajaan India memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan India, yang memberikan wilayah itu status istimewa.

Semenjak itu, beratus-ratus orang, kebanyakannya pemimpin politik, telah ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa.

Jammu dan Kashmir dikawal sebahagiannya oleh India dan Pakistan dan dituntut kedua-duanya secara penuh.

Sejak berpisah pada tahun 1947, India dan Pakistan telah berperang tiga kali – pada tahun 1948, 1965 dan 1971 – dua daripadanya berperang merebut Kashmir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *