Menteri Luar Bahrain Khianati Palestin

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk tindakan Menteri Luar Bahrain, Sheikh Khalid bin Ahmed Al Khalifah yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Luar Israel, Israel Katz di Amerika Syarikat, Rabu lalu.

Menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap Palestin, Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri kecewa kerana pertemuan itu menandakan Bahrain seolah-olah membenarkan penindasan dan keganasan yang berlaku selama ini.

“Gambar intim Menteri Luar Bahrain dengan rakan sejawatannya daripada rejim Israel mencerminkan pembabitan rejim Arab bersama Zionis

“Kita anggap pertemuan itu pengkhianatan terhadap al-Quds dan Palestin, tapi kita yakin ianya tak akan berjaya memalsukan fakta sebenar mengenai hakikat dan hak Palestin,” katanya.

Pada masa sama, parti pembangkang utama Bahrain turut mengecam pertemuan itu dengan beranggapan ia sebagai tindakan memalukan dan satu dosa yang tidak dapat diampunkan.

“Hairan sekali, adakah pemerintah Manama tidak sedar sikap zalim Israel terhadap Palestin, atau mereka tidak lagi mempunyai undang-undang,” soalnya.

Sementara itu, Persatuan Islam Nasional al-Wefaq pula menyifatkan hubungan Manama yang semakin selesa dengan Tel Aviv seperti tidak menghormati rakyat Bahrain.

Mereka melahirkan rasa kesal apabila saluran media, beberapa parti politik, sosial dan agama di Bahrain seolah-olah memuji dosa rejim Manama yang membela Israel secara membuta tuli.

Terdahulu dalam satu temu bual akhbar berbahasa Inggeris, The Times of Israel, diplomat Bahrain dilaporkan berkata, pihaknya mengiktiraf kewujudan Israel dan mengakui rejim Zionis berhak untuk menetap di tanah yang diduduki ketika ini.

“Pada siapa kita tawarkan Inisiatif Keamanan Arab? Kami tawarkan kepada Israel …. Kami mahu hubungan yang lebih baik dengan negara itu, dan kami mahu perdamaian dengannya,” katanya.

Inisiatif Keamanan Arab dicadangkan oleh Arab Saudi pada tahun 2002, mengajak Israel bersetuju dengan penyelesaian dua negara berkaitan isu Palestin. Inisiatif ini telah diulangi oleh Liga Arab pada tahun 2002, 2007, dan 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *