Rejim Zionis Menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo Syria

Rejim Israel telah melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang Aleppo Syria, mengakibatkan kerosakan landasan dan membuatkan perkhidmatan penerbangan dihentikan, menurut media negara Syria.

Agensi berita SANA berkata serangan peluru berpandu berlaku pada awal pagi Selasa.

Memetik sumber tentera, SANA berkata Israel “menjalankan serangan udara daripada arah Laut Mediterranean, barat Latakia, dengan menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo”. SANA berkata serbuan itu “menyebabkan kerosakan material” kepada lapangan terbang dan “meletakkannya dalam keadaan tiada perkhidmatan”.

Bandar Aleppo telah banyak mengalami kerosakan dalam gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria bulan lalu. Beberapa negara telah melakukan penghantaran bantuan ke lapangan terbang bandar tersebut.

Pada 19 Februari, serangan udara rejim Israel menyasarkan kawasan kediaman di Damsyik, membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 15 yang lain, menurut berita negara Syria.

Pada 2 Januari, tentera Syria berkata tentera rejim haram Israel melancarkan peluru berpandu ke arah lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Syria, meletakkannya dalam keadaan tiada perkhidmatan dan membunuh dua askar.

 

 

 

Sumber berita: Mehr News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *