Mengapa Media Barat Gagal Laporkan Isu Palestin Dengan ‘Tepat’

Pada bulan Februari lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendedahkan bahawa krisis di Semenanjung Gaza menyaksikan hampir 2 juta rakyat Palestin “hidup dalam keadaan menganggur, miskin tegar, dan mempunyai akses yang terhad terhadap kesihatan, pendidikan, air, dan elektrik.”

Walau bagaimanapun, media-media arus perdana sering kali dilihat gagal melaporkan kisah Palestin dengan ketepatan dan empati.

Pada bulan Mac, pakar-pakar di Glasgow, Scotland dalam satu forum telah membincangkan peranan media dalam membuat liputan ke atas isu tersebut, yang dianggap sebagai salah satu krisis yang paling kritikal dalam politik antarabangsa.

Forum tersebut dihadiri oleh ramai wartawan veteran yang pernah melaporkan isu membabitkan konflik Israel – Palestin.

“Anda (wartawan) akan sentiasa merasai tekanan khusus ketika (melaporkan isu Israel dan Palestin) kerana terdapat pelobi media Israel yang sengit dan terancang,” kata Sarah Helm, bekas wartawan akhbar Independent UK.

Helm yang pernah bertugas di Baitulmaqdis pada tahun 1990an turut mendedahkan bahawa Israel mempunyai pelobi politik di ‘setiap peringkat’.

Jelas beliau, editor-editor di syarikat akhbarnya akan sentiasa diberi tekanan oleh pelobi Israel di London yang mendakwa bahawa wartawan yang sedang bertugas melaporkan berita-berita asing secara ‘tidak tepat’.

“Disebabkan (syarikat) akhbar didesak dan ditekan oleh pelobi pro-Israel (untuk melaporkan berita mengikut ‘versi’ mereka), kesannya adalah pembaca tidak mengetahui apa Palestin sebenarnya.

“Semua orang bimbang dituduh melakukan kesalahan dan dituduh sebagai anti-Semitik (anti-Yahudi) sehingga mereka tidak bertanya soalan-soalan yang sepatutnya,” kata Helm.

Selain itu, David Cronin, seorang wartawan pernah meluahkan kekecewaan terhadap akhbar Electronic Intifada, di mana beliau memegang jawatan editor bersekutu.

Menurut Cronin, beliau telah melaporkan kekejaman Israel ke atas Palestin, namun kemudian akhbar tersebut melarangnya daripada ‘membuat liputan dari Gaza’.

Malah, salah seorang editor lain turut mengarahkan Cronin untuk terus berhenti membuat liputan tentang konflik tersebut.

Sementara itu, Ilan Baruch, bekas duta Israel ke Afrika Selatan berkata, naratif media Barat telah didominasi oleh Israel sepanjang konflik selama 70 tahun itu.

Baruch telah meletak jawatan pada tahun 2011 kerana tidak lagi mahu menjadi wakil kepada dasar-dasar kerajaan Israel.

Satu perkara yang ‘mengejutkan’ turut didedahkan oleh seorang penulis warga Amerika-Palestin bernama Mariam Barghouti pada 2017:

“Media arus perdana sentiasa fokus kepada reaksi rakyat Palestin dan bukan kepada tindakan (kejam) Israel, dan ini membuatkan rakyat Palestin dilihat seolah-olah mereka adalah penyerang, sedangkan mereka sebenarnya mempertahankan diri.”

Oleh yang demikian, Helm menegaskan bahawa editor-editor akhbar perlu mempunyai keberanian untuk menekankan konteks sejarah bagi membolehkan pembaca, pendengar, dan penonton untuk memahami konfik berkenaan dengan betul. – Al-Jazeera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *