Arena politik Myanmar menyaksikan kemunculan pelbagai parti politik baru yang ditubuhkan untuk mencabar parti National League for Democracy (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi menjelang pilihan raya umum pada tahun 2020 nanti.
Kedudukan Suu Kyi kini menjadi semakin lemah berikutan kegagalannya dalam menyelesaikan konflik etnik yang sedang berlaku dan juga pertumbuhan ekonomi negara yang lembab.
Menurut penganalisis politik, NLD dijangka akan masih mendahului parti-parti lain pada 2020, tetapi mungkin akan kehilangan majoriti besar.
“Ia menjadi persoalan sama ada NLD akan memenangi kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.
“Jika tidak, mereka perlu membentuk sebuah pakatan atau berunding dengan parti-parti lain,” kata Ye Myo Hein, seorang penganalisis di Tagaung Institute of Political Studies.
Suu Kyi yang juga penerima Anugerah Nobel telah menerima kritikan hebat oleh pemimpin-pemimpin etnik yang menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya menggunakan kuasa tanpa mengambil kira pandangan orang lain serta tidak memahami permintaan politik daripada golongan minoriti.
Pelabur-pelabur pula mengadu tentang kelembapan reformasi ekonomi yang dicadangkan.
Sementara itu, Shwe Mann, iaitu bekas speaker Dewan Rakyat yang berpengaruh dan pernah menjadi sekutu Kuu Kyi, telah mengumumkan penubuhan parti politik baru yang dikenali sebagai Union Betterment Party.
Salah seorang lagi pemimpin ‘lagenda’, Ko Ko Gyi yang mengetuai protes pelajar membantah pemerintahan tentera pada tahun 1988 juga telah menubuhkan partinya sendiri, iaitu People’s Party.
Difahamkan, Ko Ko Gyi telah mempelawa pelbagai kumpulan lain, termasuk parti-parti etnik, untuk bersama-sama berganding bahu dalam pilihan raya akan datang.
“Jika satu parti tidak menang, kita boleh bergabung dalam parlimen sebagai satu perikatan. Kita boleh bersatu dan mengelak daripada perpecahan undi,” katanya.
Dalam pada itu, antara masalah utama yang perlu diselesaikan oleh NLD adalah krisis Rakhine yang menyaksikan kira-kira 730,000 etnik Islam Rohingya dipaksa untuk melarikan diri ke Bangladesh berikutan ‘operasi pembersihan’ yang dilancarkan oleh tentera pada tahun 2017.
Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mempertimbang untuk mengenakan sekatan perdagangan ke atas Myanmar akibat krisis tersebut, dengan menyekat akses tarif percuma yang kini dinikmati oleh negara Asia Tenggara itu.
Langkah ini termasuk menyekat industri tekstil yang menguntungkan di Myanmar, dan sekatan ini berpotensi menghapuskan pekerjaan ratusan ribu pekerja.
Difahamkan, ramai pekerja tekstil berada di kawasan-kawasan yang mengundi NLD pada tahun 2015, termasuk Yangon dan Mandalay.
Suu Kyi juga dilaporkan menghadapi ancaman daripada Arakan Army, sebuah kumpulan pemberontak di Rakhine yang menuntut autonomi lebih besar di negeri itu.
Parti etnik Rakhine, iaitu Arakan National Party mencatatkan prestasi yang baik ketika pilihan raya tahun 2015, tetapi mereka tidak diberi peranan besar dalam pentadbiran tempatan.
Ini sekali gus mencetuskan kemarahan parti itu terhadap kerajaan pimpinan NLD di Rakhine.
Oo Aung Than dari Thazin Community Development Institute, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak sama rata dan pembangunan di Rakhine, menyatakan bahawa NLD mengabaikan kehendak politik rakyat Rakhine pada tahun 2015.
“Kami, kumpulan etnik, boleh melihat bagaimana mereka ‘menghargai’ kami. Kemenangan besar (NLD) tidak akan berlaku lagi pada tahun 2020,” tegas Oo Aung Than. – Reuters