Beberapa NGO di Malaysia terjejas dengan perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat(AS) Donald Trump berhubung pembekuan 90 hari bantuan asing menyeluruh, yang bermula pada 20 Jan lalu.
Kumpulan itu, termasuk mereka yang menyokong kebebasan bersuara, pemuliharaan hidupan liar, dan bantuan pelarian. Menurut NGO berkenaan, berkata mereka terjejas dalam pelbagai cara, dengan sesetengahnya menghadapi kesukaran membayar gaji untuk tiga bulan akan datang.
Beberapa NGO yang bercakap dengan Malaysiakini mengesahkan sumber pembiayaan mereka terjejas tetapi ramai yang enggan mendedahkan nama kerana bimbang akan berlaku tindak balas. Ada juga yang enggan memberikan lebih banyak maklumat atas “sebab undang-undang dan keselamatan” sementara ada pula mengatakan mereka masih menilai kesan perintah eksekutif itu.
Antara NGO akar umbi yang terjejas teruk ialah Justice for Wildlife Malaysia (JWM).
JWM menangani pemerdagangan hidupan liar dengan menjejaki dan melaporkan kes mahkamah berkaitan hidupan liar dan sangat bergantung pada geran untuk mengekalkan aktivitinya.
NGO itu juga melatih renjer hidupan liar untuk memerangi pemburuan haram, kata pengasas bersamanya Nor Arlina Amirah Ghani, yang juga dikenali sebagai Ann.
Bagaimanapun, pembiayaan dibekukan bermula 25 Jan, menyebabkan Ann bertungkus-lumus mencari dana bagi memastikan kerja-kerja itu dapat diteruskan dan kakitangannya diberi pampasan yang secukupnya.
“Setakat ini, kami menerima tiga e-mel untuk menghentikan semua kerja (di bawah geran) dan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bermula dari 25 Jan, sehingga 90 hari sementara menunggu semakan oleh kerajaan AS.
“JWM baru mula mengambil pekerja sebulan yang lalu. Kami juga mempunyai kakitangan baharu yang masuk minggu ini, tetapi kami perlu memaklumkan kepadanya bahawa kami tidak boleh mengambilnya,” katanya kepada Malaysiakini.
Ann berkata bagi tahun ini, JWM merancang untuk melaksanakan tiga projek yang dibiayai oleh Jabatan Negara AS atau melalui geran kecil daripada NGO yang menerima geran daripada kerajaan AS.
“Kami memilih untuk mendapatkan geran daripada AS kerana mereka mempunyai banyak agensi kerajaan yang menawarkan geran yang berkaitan dengan kerja kami,” katanya.
Ann berkata JWM memerlukan kira-kira RM90,000 untuk menampung aktivitinya selama tiga bulan, yang meliputi kos kakitangan di seluruh negara.
“Jadi sekarang, untuk mengekalkan aktiviti kami, saya terpaksa menggunakan semua kontingensi kami daripada bajet tahun depan, tetapi ia mungkin bertahan paling lama untuk 45 hari,” katanya.
Sambil menekan butang panik, Ann menggunakan media sosial untuk mengumpulkan kekurangan baki itu.
Bagaimanapun, dia pesimis bahawa JWM akan dapat mengumpul dana yang diperlukan dalam tempoh yang singkat, memandangkan ia adalah sebuah NGO kecil dengan pendedahan awam yang sangat sedikit.
Beliau berkata perintah eksekutif Trump bermakna kebanyakan pekerja JWM tidak akan menerima gaji mereka untuk tiga bulan akan datang.
“Kami bercakap tentang orang yang bersemangat yang sanggup berpindah ke Sabah untuk meneruskan minat mereka dalam pemuliharaan hidupan liar.
“Kami bercakap tentang orang yang meninggalkan pekerjaan korporat mereka untuk membantu menyelamatkan hidupan liar Malaysia,” katanya pada X.
“Pada ketika ini, saya akan menerima apa sahaja yang saya mampu untuk menghadapi ini. Saya bersedia untuk mengadakan ceramah kesedaran sebagai balasan kepada sumbangan itu,” katanya sambil menawarkan audit yang telus terhadap sumbangan tersebut.
Sementara itu, Asylum Access Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan undang-undang untuk pelarian dan mereka yang mencari suaka, berkata ia tidak terjejas secara langsung dengan perintah itu tetapi menjangkakan menerima tempiasnya.
Pengarah operasi bersekutunya, Sivaranjani Manickam berkata pejabat global Asylum Access dan pejabat Thailand terjejas secara langsung tetapi Asylum Access Malaysia kurang terkesan kerana ia tidak menjalankan sebarang kerja yang dibiayai secara langsung oleh AS.
“Tetapi apabila pembiayaan dihentikan ke pejabat lain, kami juga diminta mengecilkan saiz kerana pembiayaan kami perlu dikongsi dengan pejabat lain,” katanya kepada Malaysiakini melalui Whatsapp.
Dia berkata perintah itu telah membuatkan ramai dalam masyarakat sivil terkejut.
“Bahasa yang digunakan dalam surat perintah henti secara langsung menolak semua kerja berkaitan diversity, equity, and inclusion atau kepelbagaian, ekuiti dan rangkuman (DEI) dan (ia menunjukkan) AS tidak bersedia untuk menyokong mana-mana kerja DEI,” kata Sivaranjani.
Pengasas Beyond Borders Malaysia Mahi Ramakrishnan berkata NGOnya, yang mempromosikan dan melindungi hak pelarian dan individu tanpa kerakyatan, tidak terjejas kerana ia beralih daripada mendapatkan dana AS sejak 2023.
Bagaimanapun, NGO itu masih menjangkakan beberapa kesan tidak langsung melalui kerja memerangi keganasan yang dilakukannya dengan organisasi masyarakat sivil lain di AS, Amerika Selatan, serta rantau Asia Barat dan Afrika Utara (Mena).
“Saya bimbang untuk berfikir bahawa projek seperti itu mungkin tidak dapat dilaksanakan lagi,” katanya.
Mahi menambah ini mungkin menjejaskan pembiayaan masa depan untuk projek untuk menamatkan penganiayaan terhadap orang awam oleh junta Myanmar. Projek itu sebelum ini dibiayai oleh penderma di AS, katanya.
Civicus, sebuah perikatan masyarakat sivil global, berkata sebahagian daripada dana tindak balas krisisnya terjejas kerana ia dibiayai melalui Freedom House, yang seterusnya menerima sebahagian daripada pembiayaannya daripada Jabatan Negara AS.
“Ahli konsortium CSO (organisasi masyarakat sivil) telah terjejas secara langsung,” kata ketua pegawai bagi tindakan advokasi dan perpaduannya, Jessica Corredor Villamil.
Sumber berita: Alang Bendahara, Malaysiakini