Berpuluh-puluh lagi rakyat Palestin terbunuh ketika Israel terus membadai Semenanjung Gaza dengan serangan udara dan artileri disebalik pengumuman perjanjian gencatan senjata antara rejim dan gerakan muqawamah Palestin, Hamas.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza, 81 rakyat Palestin terbunuh dan 188 yang lain cedera dalam pengeboman dan tembakan Israel di seluruh wilayah yang disekat sejak Rabu.
Pertubuhan Pertahanan Awam Gaza berkata bahawa majoriti mangsa, termasuk 21 kanak-kanak dan 25 wanita, terbunuh susulan pengumuman perjanjian itu.
Pesawat perang Israel menyasarkan beberapa kawasan di kawasan tengah dan selatan Semenanjung, termasuk dua pangsapuri kediaman di al-Draj dan di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di Bandar Gaza.
Kematian terbaharu telah menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 46,788 sejak rejim Zionis melancarkan perang genosid ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, kata kementerian kesihatan, sambil menambah bahawa jumlah yang cedera kini mencecah 110,453.
Serangan ke atas Gaza berterusan walaupun tokoh negara dan bukan negara di seluruh dunia telah menyampaikan ucapan tahniah atas perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel yang ditengahkan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa mulai Ahad, 19 Januari.
Pada petang Rabu, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani mengumumkan kejayaan gencatan senjata itu, dengan menyatakan bahawa kedua-dua pihak Palestin dan Israel bersetuju dengan syarat perjanjian itu.
Sumber berita: IRNA English