Seorang peneroka wanita Israel bernama Yasmin Porat membuat pengakuan bahawa orang awam Israel telah dibunuh oleh tentera Israel sendiri dan bukan oleh Hamas.
Ini diungkapkan dalam wawancara Porat dengan stesen radio Israel pada 15 Oktober, di mana dia berkata, “Mereka membunuh semua orang, termasuk tebusan. Terdapat situasi berbalas tembakan yang sangat dahsyat dan bahkan mereka juga melakukan tembakan dengan menggunakan kereta kebal.”
Ibu kepada tiga anak berusia 44 tahun itu menyatakan bahawa dia dan orang awam lain ditahan oleh rakyat Palestin selama beberapa jam dan diperlakukan secara “manusiawi”.
Rakaman wawancara dengan program radio Haboker Hazeh (This Morning) di stesen penyiaran negara Kan telah disebarkan di media sosial.
Perlu diingat bahawa wawancara itu tidak termasuk dalam edisi dalam talian program Haboker Hazeh pada 15 Oktober dan ia mungkin telah ditapis.
Porat juga memberitahu dalam wawancara di Saluran 12 Israel pada hari Khamis, di mana dia menggambarkan bahawa salah seorang pejuang Palestin yang berbahasa Ibrani mengatakan kepadanya, “Lihatlah saya dengan baik, kami tidak akan membunuh anda. Kami mahu membawa anda ke Gaza. Kami tidak akan membunuh anda. Jadi bertenanglah, anda tidak akan mati”. Wawancara itu telah disiarkan di platform media sosial X.
Tambah Porat lagi, “Saya tenang kerana saya tahu tidak ada yang akan terjadi pada saya,” sambil menyatakan bahawa walaupun para pejuang Hamas mempunyai senjata berisikan peluru, dia tidak melihat mereka menembak tawanan atau mengancam mereka dengan senjata. Dia juga menyatakan bahawa Hamas telah menyediakan mereka dengan bekalan air.
Sementara para tawanan menunggu tentera tiba, mereka dibenarkan keluar ke halaman rumput kerana haba panas di waktu petang. Porat melaporkan bahawa pasukan tentera Israel mengumumkan ketibaannya dengan rentetan tembakan berat yang mencederakan pejuang Hamas dan tawanan Israel.
Porat menceritakan bahawa dia menyerah kepada tentera Israel setelah setengah jam berada di dalam pertempuran sengit yang termasuk “puluhan dan ratusan dan ribuan peluru dan mortar berterbangan di udara” dan salah seorang pejuang Palestin, seorang komandan, memutuskan untuk menyerah, dengan menggunakannya sebagai perisai manusia.
Sumber berita: Middle East Monitor