Tentera Yaman telah membebaskan satu lagi ibu kota daerah di wilayah strategik barat-tengah Ma’rib, membunuh puluhan askar upahan pimpinan Saudi dan memaksa ratusan yang lain di kalangan mereka menyerah diri.
Sumber tempatan Yaman dan pelbagai saluran melaporkan pembebasan kota al-Jadid, ibu kota Daerah al-Jubah, pada hari Selasa.
Pasukan tentera Yaman dan Jawatankuasa Popular mengambil masa 48 jam untuk merampas kembali kawalan bandar itu, termasuk pusatnya, bangunan kerajaan, dan kem tentera upahan, lapor sumber itu.
Menurut rangkaian berita Iran berbahasa Arab, al-Alam, kemenangan itu telah membawa tentera Yaman dalam jarak yang lebih dekat dengan ibu kota wilayah Ma’rib yang mempunyai nama yang sama dengan wilayah itu sendiri.
“Pasukan Yaman hanya selangkah dari kota Ma’rib. Mereka telah mengetatkan cengkaman terhadap tentera upahan yang menceroboh dan merampas bandar itu di bawah tembakan dari tiga arah,” kata wartawan al-Alam.
Ma’rib, yang terletak betul-betul di tengah-tengah seluruh wilayah Yaman yang lain, telah bertukar menjadi tumpuan operasi pembebasan tentera Yaman sejak tahun lalu.
Penawanan semula wilayah itu, yang mana banyak kemajuan telah dicapai setakat ini, dijangka membuka jalan bagi kemenangan tentera selanjutnya untuk untuk pasukan tentera Yaman.
Arab Saudi dan beberapa sekutunya telah melancarkan perang ke atas Yaman sejak 2015 untuk mengembalikan kuasa kepada bekas pegawai kerajaan di sana yang mesra Riyadh.
Peperangan dan pengepungan serentak, yang telah dikuatkuasakan oleh pakatan yang diketuai Saudi ke atas negara termiskin di dunia Arab itu, telah membunuh puluhan ribu rakyat Yaman.
Pencerobohan itu juga telah mendorong seluruh Yaman hampir ke ambang kebuluran secara langsung, menjadikan negara itu sebagai tempat krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Pasukan pertahanan Yaman bagaimanapun telah berikrar untuk tidak meletakkan senjata dan operasi penentangan mereka sehingga negara itu dibebaskan sepenuhnya.
Sumber berita : Press TV
