Tentera Israel menyatakan pesawat tempurnya telah melakukan 122 serangan di Gaza semalaman, ketika rejim itu meneruskan pengebomannya di kawasan yang dikepung, yang mensasarkan bangunan kediaman yang mana sama sekali tidak menghiraukan nyawa orang awam.
Jurucakap tentera Israel, Hidai Zilberman berkata, pada sekitar jam 10 malam hari Selasa malam, 52 jet pejuang telah melakukan 122 serangan udara di Semenanjung Gaza dalam 25 minit, yang mensasarkan apa yang didakwanya sebagai rangkaian terowong Hamas, termasuk tempat penyimpanan senjata dan pusat pemerintah tentera.
Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
Satu serangan itu membunuh seorang wartawan, Yusef Abu Hussein dan mencederakan beberapa yang lain pada pagi Rabu. Hussein, penyampai di saluran Radio Palestin, kehilangan nyawanya semasa serangan udara yang mensasarkan kejiranan Sheikh Radwan di Bandar Gaza.
Serangan udara Israel juga menyerang rumah dan tanah pertanian di bandar Khan Younis dan Jabalia pada Selasa malam dan awal pagi Rabu, sementara sebuah rumah di Beit Lahia dan sebuah trak di kem Maghazi dibom oleh jet rejim.
Menurut tentera Israel, pejuang Palestin itu juga melancarkan 50 roket ke wilayah yang dijajah Israel pada petang Selasa.
Dua Kali Usaha Israel Membunuh Ketua Tentera Hamas Sia-Sia
Tentera Israel mengesahkan pada hari Rabu yang mereka telah berusaha membunuh ketua tentera Hamas, Muhammad Deif dua kali sejak konfrontasi bermula pada 10 Mei.
Dikatakan Deif telah berjaya lolos dari serangan sebegitu dua kali, dengan menyatakan yang ia telah mensasarkan sekurang-kurangnya tujuh anggota tertinggi Hamas yang lain, tetapi semuanya selamat, walaupun ada yang mengalami kecederaan.
Kumpulan pejuang Palestin juga terus melancarkan roket ke wilayah yang diduduki Israel, dengan Hamas mengatakan bahawa ia mensasarkan enam pangkalan tentera udara Israel di bahagian tengah wilayah yang diduduki dan bahagian selatan dalam serangan terakhir yang dilakukan mereka.
“Pangkalan yang menjadi sasaran Briged al-Qassam adalah Hatzor, Hatzerim, Nevatim, Tel Nof, Palmachim, dan Ramon,” kata Hamas.
Siren roket telah dibunyikan malam tadi di bahagian tengah dan selatan wilayah yang diduduki itu, termasuk di Ashdod dan Rehovot. Siren juga telah kedengaran di barat bandar Sderot dan komuniti sempadan di Gaza. Setelah berjam-jam sepi, siren roket dilancarkan di bandar sempadan Gaza, Ein HaShlosha pada waktu pagi, lapor Times of Israel.
Memetik sumber yang tidak disebutkan namanya, Arabi 21 melaporkan bahawa peneroka Israel meninggalkan Tel Aviv secara beramai-ramai menuju penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki kerana bimbang roket kumpulan penentang Palestin.
Palestin Adakan Tunjuk Perasaan Di Seluruh Negara
Pada hari Selasa, rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan di pelbagai bahagian wilayah yang dijajah Israel untuk mengecam kekejaman Israel.
Penunjuk perasaan mengadakan protes di Haifa, Jaffa, Nazareth, Hebron, Acre, Tulkarm, Sakhnin, Salfit, Jenin, Qalqilya, Umm al-Fahm dan Lod, serta kawasan lain, di mana mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan anti-Israel. Keganasan Israel dilaporkan telah berlaku di beberapa kawasan.
Tentera Israel mensasarkan penunjuk perasaan Palestin di kawasan Jerusalem Timur al-Quds di Sheikh Jarrah, di mana rejim itu telah berusaha memaksa keluarga Palestin keluar dari rumah mereka untuk membina penempatan haram yang baru.
Pasukan penjajah Israel dikerahkan ke daerah itu bagi menekan para penunjuk perasaan yang keluar untuk mengutuk pengeboman Gaza yang sedang berlangsung, serangan rejim Israel ke perkarangan Masjid al-Aqsa dan perampasan tanah di Sheikh Jarrah.
Menurut agensi Bulan Sabit Merah Palestin, 16 orang cedera dalam keganasan pasukan Israel berhampiran Gerbang Damsyik, dengan tiga orang memerlukan rawatan di hospital.
Dua Lagi Rakyat Palestin Di Tebing Barat Dibunuh Tentera Israel
Kementerian Kesihatan Palestin mengatakan yang dua lagi rakyat Palestin – Adham Fayez Musa Kashif berusia 20 tahun dan Islam Wael Bernat yang berusia 15 tahun – ditembak mati semasa mengadakan demonstrasi berhampiran pusat pemeriksaan Beit El di Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian itu mengatakan Kashif ditembak di dada dengan beberapa peluru hidup dan Bernat ditembak beberapa kali di kepala.
Kementerian kesihatan Gaza menyatakan dalam laporan terbarunya bahawa serangan udara Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 219 orang Palestin, termasuk 63 kanak-kanak dan 36 wanita, dengan lebih dari 1,500 yang lain telah mengalami kecederaan. Kementerian itu mengatakan sekitar sepertiga yang cedera merupakan kanak-kanak.
Serangan Israel juga memusnahkan sejumlah bangunan dan jalan raya, sehingga menyukarkan kru penyelamat kecemasan untuk mencapai kawasan sasaran baru.
Israel Bersumpah Untuk Terus Membedil Gaza
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengatakan bahawa rejim itu akan meneruskan serangan udara di Semenanjung Gaza untuk sekurang-kurangnya beberapa hari lagi.
Dalam ucapan pada hari Selasa, Netanyahu mengatakan pengeboman Israel di Gaza akan berlangsung “selama diperlukan untuk mengembalikan ketenangan bagi warga Israel.”
Menteri hal ehwal ketenteraan Israel, Benny Gantz juga mengatakan serangan udara terhadap warga Gaza akan berlanjutan dengan tujuan bagi mencapai “ketenangan jangka panjang.”
Bercakap dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin pada hari Selasa, Gantz menyatakan penghargaannya atas sokongan pentadbiran Amerika terhadap apa yang disebutnya sebagai hak mempertahankan diri Israel.
Amerika Syarikat telah menyokong Israel sejak awal perang di Gaza. Pada hari Ahad, pihaknya telah menyekat kenyataan Majlis Keselamatan PBB mengenai isu tersebut.
Amaran Pejuang Palestin Kepada Komander Israel: ‘Rumah Anda Adalah Sasaran Seterusnya’
Sementara itu, Briged al-Mujahidin menerbitkan video kawasan yang disasarkan di wilayah yang diduduki Israel, mengancam ketua pemerintah tentera bahagian selatan rejim itu bahawa rumahnya akan menjadi sasaran berikutnya.
“Rumah anda adalah seterusnya,” kata kumpulan pejuang Palestin dalam video tersebut, yang mana menujukannya kepada Eliezer Toledano, menurut rangkaian televisyen al-Mayadeen Lubnan.
Ia muncul selepas video Toledano melarikan diri dari wawancara TV secara langsung setelah mendengar siren yang tular di media sosial.
Toledano sedang diwawancara oleh Saluran 13 Israel pada hari Ahad, melarikan diri setelah dia mendengar siren roket.
Ini bukan kali pertama seorang pegawai Israel melarikan diri ke tempat perlindungan ketika sedang bersiaran. Netanyahu dan yang lain telah melakukan perkara yang sama beberapa kali dalam melarikan diri dari peluru berpandu dari pasukan pejuang.
Hamas Menafikan Perjanjian Gencatan Senjata
Seorang anggota biro politik Hamas menafikan laporan bahawa kumpulan pejuang itu telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata pada hari Khamis, dengan mengatakan bahawa kesepakatan tersebut tidak wujud.
“Apa yang dilaporkan oleh beberapa media musuh mengenai Hamas menyetujui gencatan senjata pada hari Khamis adalah tidak benar,” tulis Izzat al-Reshiq dalam tweet awal hari Rabu. “Kami menekankan bahawa usaha dan perhubungan dengan orang tengah adalah serius dan berterusan, dan tuntutan negara kita jelas.”
Sementara itu, wakil pihak Berkuasa Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, rakyat Palestin tidak dapat lagi untuk terus hidup di bawah rejim apartheid Israel yang agresif.
“Kami tidak dapat terus hidup di bawah rejim apartheid yang agresif ini. Pendudukan ini mesti berakhir. Kami perlu memiliki kemerdekaan negara kami dengan Jerusalem Timur [al-Quds] sebagai ibu kotanya di mana kami dapat hidup dengan bermaruah dan bebas, ”kata Mansour pada sidang media di ibu pejabat PBB di New York.
Pejabat Al-Alam Dipindahkan Kerana Ancaman Serangan Israel
Pejabat rangkaian berita berbahasa Arab milik Iran, Al Alam telah dipindahkan pada hari Rabu kerana ancaman rejim Israel untuk mengebom bangunan berhampiran, kata wartawan rangkaian itu ke Gaza.
Ia berlaku beberapa hari selepas rejim Tel Aviv menghancurkan menara Al Jalaa di Gaza yang menempatkan pejabat Al Jazeera, Associated Press dan Middle East Eye di kalangan agensi berita lain.
Serangan itu telah dikecam di seluruh dunia yang dikatakan sebagai satu langkah penindasan terhadap kewartawanan.
Pembunuhan Yusef Abu Hussein pada pagi Rabu akan menambahkan lagi kemarahan itu.
Sumber berita: Press Tv