Lapangan Terbang Ramon Menjadi Sasaran Roket Hamas Sebagai Tindak Balas Kekejaman Rejim Israel

Gerakan perjuangan Islam Palestin, Hamas, telah mensasarkan Lapangan Terbang Ramon Israel berhampiran bandaraya Eilat di selatan wilayah jajahan rejim Israel, mengakibatkan kesemua operasi penerbangan dihentikan.

Abu Ubaida, jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas, memberitahu TV al-Aqsa pada petang Khamis bahawa peluru berpandu, Ayyash 250, telah di sasarkan ke lapangan terbang terbabit, beliau juga menegaskan bahawa serangan roket berkenaan mampu mengenai mana-mana sasaran yang ditentukan, laporan agensi berita berbahasa Arab Palestin, Safa.

 

“Dengan nama Allah dan atas perintah Ketua Staf Briged al-Qassam, Abu Khaled Muhammad al-Deif, peluru berpandu Ayyash dilancarkan ke arah Lapangan Terbang Ramon – yang terletak kira-kira 220 kilometer (136 batu) selatan Semenanjung Gaza – bahagian selatan wilayah Palestin yang diduduki. Peluru berpandu itu seberat 250 kilogram (550 paun), dan jaraknya mampu mencapai sehingga 250 kilometer lebih dan berkekuatan pemusnah,” ujar beliau.

 

Jurucakap Briged al-Qassam itu juga mengatakan pelancaran peluru berpandu terbabit adalah sebahagian dari serang balas ke atas pihak musuh terhadap pembunuhan pemimpin dan jurutera Palestin dalam pengeboman dan serangan udara rejim Israel baru-baru ini.

 

“Kami telah melancarkan [peluru berpandu] Ayyash 250, dan memberi peringatan kepada pihak musuh (rejim Israel): ‘Ini cuma lapangan terbang anda. Setiap penjuru dari utara dan selatan Palestin berada dalam jangkauan peluru berpandu kami,” jelas Abu Ubaida.

 

Tambah beliau, “dengan bantuan Allah, ini adalah senjata penangkis terbaru yang meluncur di langit Palestin menuju ke setiap sasaran yang kami tetapkan dalam serangan.”

Jurucakap Briged al-Qassam itu mengesa agar syarikat penerbangan antarabangsa supaya menghentikan penerbangan mereka dengan segera ke mana-mana lapangan terbang di wilayah Palestin yang diduduki itu.

Peluru berpandu Ayyash 250 diambil dari nama salah seorang komandan tertingi Hamas-Yahya Ayyash, sebelum beliau dibunuh oleh rejim Israel pada tahun 1996.

 

Briged Al-Qassam Melancarkan Serangan Drone Ke Atas Wilayah Yang Di Duduki Rejim Israel

Briged Al-Qassam mengumumkan dalam satu kenyataan lainnya bahawa para pejuangnya menyerang pasukan tentera rejim Israel di sempadan Semenanjung Gaza pada hari Khamis, dengan menggunakan pesawat drone buatan sendiri yang di beri nama – Shehab.

Beliau menambah, drone terbabit juga telah mensasarkan pelantar minyak milik rejim Israel pada hari sebelumnya.

 

“Operasi ini sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Zionis yang berterusan terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza, serta pembalas di atas pembunuhan para pemimpin dan jurutera Qassam,” tambah beliau.

 

Briged Al-Qassam bersumpah untuk terus melakukan serangan balasnya selama rejim Israel masih meneruskan tindakan pencerobohannya.

Pada awal hari Khamis yang lalu Pegawai udara rejim Israel berkata bahawa kemasukan penerbangan penumpang akan dialihkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion berhampiran Tel Aviv ke Lapangan terbang Ramon di Eilat, bahagian selatan Israel.

Dalam rencana terbaru, para penumpang akan mendarat di Ramon, lapangan terbang yang baru dibuka pada tahun 2019. Kemudian pesawat yang kosong itu akan berlepas semula ke Ben Gurion untuk mengambil penumpang baru, dan kemudian bergerak ke destinasi yang ditetapkan.

Situasi itu terjadi ketika syarikat penerbangan Amerika mula membatalkan penerbangan ke Israel kerana serangan balas roket oleh pejuang perlawanan Palestin di tengah konflik yang melanda wilayah yang di duduki terbabit.

United Airlines, American Airlines dan Delta Airlines kesemuanya membatalkan penerbangan ke Tel Aviv, lapor The New York Times pada hari Rabu.

 

Syarikat Penerbangan Eropah Membatalkan Penerbangannya Ke Tel Aviv Akibat Konflik Yang Melanda

Sejajar dengan pembatalan penerbangan milik Amerika Syarikat, Eropah juga bersetuju untuk menghentikan penerbangannya buat masa ini ke Tel Aviv memandangkan konflik semakin meningkat di wilayah berkenaan, antara syarikat yang mengambil keputusan itu adalah British Airways, Virgin Atlantic dan Iberia.

“Keselesaan dan keselamatan pekerja serta pelanggan selalu menjadi keutamaan kami, dan kami akan terus memantau situasi tersebut dengan teliti,” kata British Airways setelah membatalkan penerbangan keluar masuk ke Tel Aviv pada hari Khamis.

Menurut Reuters, Virgin Atlantic yang berpangkalan di UK membatalkan kesemua penerbangannya ke sana pada lewat hari Rabu lagi, dengan mengatakan bahawa mereka sedang meneliti perkara ini, sama ada akan meneruskan penerbangan petang Khamis ataupun tidak.

Syarikat penerbangan Sepanyol Iberia juga membatalkan penerbangannya ke Tel Aviv dari Madrid pada hari Khamis dan penerbangan pulang pada hari Jumaat, kata salah seorang jurucakapnya, sementara Wizz Air pula menangguhkan penerbangan dari Abu Dhabi ke Tel Aviv hingga hari Jumaat.

Syarikat penerbangan Emiriah, Flydubai berkata pihaknya meneruskan operasi penerbangan hariannya dari Dubai ke Tel Aviv. Syarikat penerbangan itu menjadualkan tiga penerbangan pada hari Khamis, menurut laman webnya, sementara penerbangan malam keempatnya telah dibatalkan.

United Airlines, Delta Air Lines dan American Airlines pada hari Rabu telah membatalkan semua penerbangannya antara Amerika Syarikat dan Tel Aviv.

 

Syarikat Penerbangan Jerman Menanguhkan Penerbangan Ke Tel Aviv

Syarikat penerbangan Jerman Lufthansa juga akan menangguhkan kesemua penerbangannya ke Tel Aviv hingga hari Jumaat, 14 Mei.

“Lufthansa akan mengamati situasi yang sedang berlaku di Israel saat ini dan kami masih mendapatkan maklumat dengan pihak berwajib dan staf kami di lapangan,” demikian kenyataan dari syarikat itu.

Lufthansa menyatakan pihaknya menjangkakan penerbangan ke rejim Israel itu akan beroperasi semula pada hari Sabtu, 15 Mei.

Tentera rejim Israel dilaporkan telah melancarkan lebih dari 1,000 roket dan lebih dari 350 serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin yang lalu.

Kumpulan perjuangan Palestin pula telah melancarkan lebih dari 1600 buah roket dari kawasan yang dikepung itu sejak konflik Israel-Palestin dalam beberapa tahun ini.

Sejak serangan rejim Israel bermula pada hari Isnin yang lalu, kementerian kesihatan Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 87 orang telah terkorban, 18 daripadanya adalah kanak-kanak dan 8 wanita serta lebih daripada 480 orang yang yang tercedera.

Dalam serangan udara rejim Israel pada hari Rabu baru-baru ini telah membunuh komander bandar Gaza, Bassem Issa berserta anggota kanan Hamas.

“Pertempuran dengan pihak musuh masih belum dapat ditentukan kesudahannya,” kata ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh.

 

 

 

Sumber berita: Press Tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *