Kerajaan gesa Ikhwanul Muslimin dikutuk, dakwa punca perpecahan
“Persaudaraan dan kekuatan sesama Islam dihancurkan, hubungan normalisasi dengan Yahudi dikukuhkan.”
“Demikianlah Arab Saudi pada hari ini,” kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.
Beliau berkata demikian susulan tindakan Arab Saudi memecat 100 orang imam dan khatib kerana tidak mengikut arahan kerajaan untuk mengutuk gerakan Ikhwanul Muslimin.
Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan mengeluarkan arahan kepada semua imam dan khatib untuk mengkritik Ikhwanul Muslimin.
Kerajaan memerintahkan agar menyalahkan mereka – Ikhwanul Muslimin – kerana menyebabkan perbezaan dan perpecahan dalam masyarakat.
Kesal dengan tindakan negara itu, Prof Zainur Rashid berkata, ia adalah pengkhianatan yang jelas terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW serta saudara seagama di Palestin serta wilayah terjajah lain.
“Semoga Allah kurniakan kesabaran, ketabahan dan kekuatan buat para pejuang kebenaran walau di mana mereka berada,” katanya.
Ikhwanul Muslimin adalah organisasi Islam tertua dan terbesar di Mesir, didirikan oleh Hassan al-Banna pada 1928.
Gerakan ini pada awalnya ditubuhkan untuk menyebarkan nilai-nilai Islam, kemudian ia mula berkembang menjadi gerakan politik.
Di Mesir terutamanya, gerakan ini berjuang melawan koloni Inggeris dan membanteras semua pengaruh dari Barat.
Mereka mampu menyebar ke seluruh dunia melalui aktiviti politik yang dipadukan dengan kegiatan amal.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi pada Mei lalu menyenaraihitamkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas.
Kenyataan Majlis Ulama Kanan Arab Saudi yang dikeluarkan pada 10 November lalu turut menyifatkan Ikhwanul Muslimin sebagai faktor ketidakstabilan di Asia Barat dan memperalatkan agama untuk tujuan mereka.
Ikhwanul Muslimin Mesir mengecam tindakan majlis itu dan berkata ia adalah sebuah pertubuhan pembaharuan, bukannya menyokong keganasan.
Arab Saudi dipercayai bersikap dingin terhadap Ikhwanul Muslimin kerana gerakan ini berjuang untuk mengembalikan syariat Islam dan membersihkan dunia Islam daripada anasir penjajahan bermula daripada diri individu muslim, hinggalah kepada kerajaan.
Pemerintah Arab melihat ideologi Ikhwanul Muslimin yang bersifat antimonarki ini bakal menggugat keabsahan pemerintahan mereka yang kebanyakannya memperoleh kekuasaan hasil kurniaan penjajah pasca Perjanjian Sykes-Picot 1916.
Sumber berita: Ismaweb