Iran: Perjanjian Maghribi-Israel ‘Khianati Islam’

Seorang penasihat pemimpin tertinggi Iran Ayatullah Ali Khamenei mengecam normalisasi hubungan Maghribi dengan musuh ketat Republik Islam itu, Israel, dengan menyebutnya sebagai “pengkhianatan terhadap Islam.”

Kerajaan itu pada hari Khamis menjadi negara Arab keempat tahun ini untuk menormalkan hubungan dengan Israel, dalam perjanjian yang diumumkan oleh Presiden Amerika yang akan meniggalkan Rumah Putih, Donald Trump.

Sebagai balasannya, Washington memenuhi keinginan Rabat selama puluhan tahun dengan mengakui kedaulatannya ke atas Sahara Barat yang dipertikaikan.

“Perjanjian antara segitiga Amerika, Maghribi dan rejim Zionis dilakukan sebagai pertukaran untuk pengkhianatan Maghribi terhadap Islam (dan) perjuangan Palestin, menjual kehormatan umat Islam kepada Zionisma antarabangsa,” kata penasihat dasar luar Ali Akbar Velayati di laman web rasminya pada hari Jumaat.

Beliau juga menambah normalisasi hubungan dengan Israel “bukan hal baru” kerana negara beraja itu telah mempertahankan pejabat perhubungannya di Israel pada masa lalu.

Maghribi telah mengikuti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan dalam apa yang disebut oleh pentadbiran Trump sebagai Perjanjian Abraham.

Sambil menyelar keempat-empatnya, Velayati mengatakan mereka akan “menyaksikan pemberontakan popular dalam masa yang tidak jauh” kerana pemimpin mereka yang “bergantung, tunduk dan diktator” itu telah menunjukkan wajah yang sebenar.

Pengakuan Amerika terhadap kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat telah menimbulkan kemarahan Front Polisario yang pro-kemerdekaan, yang menguasai sekitar seperlima wilayah yang luas itu.

Rabat, yang mempunyai hubungan erat dengan saingan Iran, Arab Saudi, telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Tehran pada tahun 2018 dengan menuduhnya menyokong Polisario, tuduhan yang ditolak oleh Republik Islam Iran.

 

 

 

Sumber berita: New Straits Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *