Susulan pembunuhan saintis nuklear Iran Mohsen Fakhrizadeh, perkhidmatan keselamatan Israel telah meminta bekas saintis nuklear kanan untuk mengambil langkah keselamatan tambahan sepanjang kehidupan seharian mereka, lapor media Israel pada hari Jumaat.
The Times of Israel melaporkan penyiar awam Israel Kan menyatakan bahawa amaran itu diberikan kepada saintis nuklear Israel yang bekerja di reaktor nuklear Dimona Israel, atas sebab bimbang mereka boleh menjadi sasaran balas dendam atas pembunuhan Fakhrizadeh.
Media Israel mendedahkan bahawa amaran ini dikeluarkan berikutan pegawai Iran menyalahkan Israel secara umum mengenai pembunuhan saintis nuklear Iran, dan juga janji mereka untuk membalas dendam atas pembunuhan itu.
Kan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya seorang mantan saintis Dimona diberitahu untuk mengubah rutin hariannya, mengubah pergerakannya dan waspada terhadap bungkusan yang mencurigakan.
The Times of Israel melaporkan Brigadier Jeneral (Res) Nitzan Nuriel, mantan pengarah Biro Anti Keganasan(Counter-Terrorism) di pejabat Perdana Menteri Israel, memberitahu Kan bahawa langkah berjaga-jaga perlu dilakukan, walaupun kemungkinan Iran melakukan operasi seperti itu adalah rendah.
“Pihak Iran berusaha pada masa lalu untuk melakukan serangan terhadap pegawai kanan Israel di luar negeri; Saya ragu mereka memiliki kemampuan untuk melakukan serangan seperti itu di Israel,” katanya. “Walaupun begitu, rakyat perlu berhati-hati.”
Sumber berita: Middle East Monitor