Pegawai AS: Israel Di Sebalik Pembunuhan Saintis Iran

Seorang pegawai Amerika mengatakan bahawa Israel berada di belakang pembunuhan saintis nuklear tertinggi Iran, lapor CNN pada hari Rabu, yang dipetik dari laporan Anadolu.

Mohsen Fakhrizadeh dibunuh pada hari Jumaat di pinggir Tehran.

Pegawai tanpa nama dari pentadbiran Presiden Donald Trump memberitahu rangkaian berita itu bahawa pihak berkuasa Tel Aviv telah lama mengejar saintis tersebut namun tidak menyebut sama ada pentadbiran Trump mengetahui mengenai serangan itu.

Bercakap mengenai dasar “tekanan maksimum” pentadbiran Trump terhadap Tehran, pegawai itu mengatakan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo telah diberi kuasa penuh untuk meneruskan kempen dan lebih banyak sekatan AS akan dikenakan terhadap Iran minggu ini dan minggu depan.

Lima saintis nuklear peringkat tinggi Iran telah menjadi sasaran percubaan pembunuhan sejak 2010. Republik Islam Iran menyalahkan kesemuanya pada Israel.

Israel meletakkan kedutaan dan diplomatnya dalam keadaan berjaga-jaga kerana takut ada pembalasan Iran terhadap pembunuhan Fakhrizadeh.

Serangan itu menimbulkan kemarahan di seluruh Republik Islam Iran. Sekumpulan besar penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat Presiden Hassan Rouhani di Tehran pada Jumaat lalu dan menuntut diadakan tindakan pembalasan.

Ini adalah pembunuhan berprofil tinggi kedua warga Iran sejak Januari setelah serangan udara AS membunuh Jeneral Qassem Soleimani di Baghdad. Pegawai Iran mengesyaki koordinasi antara Israel dan AS dalam serangan tersebut.

 

 

 

Sumber berita: Middle East Monitor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *