Polis New Zealand menahan remaja lelaki berusia 19 tahun atas ancaman ‘menjijikkan’ terhadap satu masjid di Christchurch yang disasarkan dalam tembakan rambang, tahun lalu.
Ketika New Zealand membuat persiapan memperingati setahun tragedi, yang menyaksikan 51 umat Islam terbunuh dalam serangan tembakan oleh individu radikal kulit putih, polis pula meningkatkan kawalan di dua masjid yang terbabit dalam insiden itu.
Mesej menakutkan yang dibuat pada aplikasi penghantaran mesej sulit itu menunjukkan lelaki dengan topi penutup muka dan leher duduk di dalam kereta, di luar Masjid Al Noor disertai mesej mengancam dan emoji pistol.
“Imej seperti ini tidak mempunyai ruang di Aotearoa, New Zealand… ia menjijikkan dan tidak boleh diterima sama sekali, ” kata Penguasa Komander Polis Canterbury, John Price melalui satu kenyataan.
Beliau berkata, remaja itu ditahan selepas polis mengeluarkan waran di sebuah alamat di Christchurch sebelum polis turut menemui beberapa barangan lain termasuk kenderaan yang digunakan bagi tujuan ancaman terbabit.
Price berkata, suspek pernah dituduh sebelum ini berhubung kes lain yang tidak didedahkan polis namun pihaknya masih mengumpul bahan bukti membabitkan ancaman di masjid itu.
Katanya, polis turut meningkatkan rondaan di sekitar Masjid Al Noor dan Linwood, selain mengekalkan kehadiran pihak berkuasa sehingga ulang tahun itu berlangsung, 15 Mac ini.
“Keselamatan orang awam adalah keutamaan kami, ” katanya yang turut memuji tindakan pantas orang awam melaporkan berhubung ancaman bergambar itu dan memberi amaran supaya ia tidak dikongsikan secara dalam talian.
Beliau berkata imej itu sudah dirujuk kepada ketua penapisan, David Shanks untuk melihat sama ada ia harus diklasifikasikan sebagai bahan yang tidak menyenangkan, di mana ia boleh didakwa sebagai satu jenayah yang boleh dihukum sehingga 14 tahun penjara.
Tahun lalu, Shanks mengharamkan paparan video secara langsung di media sosial ketika insiden tembakan berlaku di mana seorang lelaki berkongsi video itu dipenjara selama enam bulan.
Suspek yang menyerang masjid terbabit iaitu warga Australia, Brenton Tarrant, dijadual menjalani proses perbicaraan pada 21 Jun ini membabitkan pertuduhan keganasan dan 51 pertuduhan membunuh dan 40 percubaan membunuh.
Sumber berita: Berita Harian