London: Tikam Jemaah Masjid, Seorang Lelaki Ditahan

Seorang lelaki ditahan selepas menikam jemaah masjid dalam kejadian di ibu kota London, kata Polis Metropolitan pada Khamis.

Menurut agensi berita Xinhua, polis dimaklumkan mengenai kejadian di masjid dekat Regents Park, London itu kira-kira  3.10 petang (1510 GMT).

Mangsa, seorang lelaki yang dikenali sebagai Rafat Maqlad, berusia 69 tahun ditemui cedera namun, keadaannya dilaporkan stabil, kata Polis Metropolitan di Twitter.

 

 

Seorang saksi berkata suspek sering dilihat di masjid tersebut sejak enam bulan lalu.

Penyerang dipercayai sengaja menunggu sehingga solat dimulakan sebelum meluru ke arah mangsa dan menikamnya di bahagian bahu sebelah kanan.

“Solat baru sahaja bermula dan suspek solat di belakang mangsa, sebelum menikamnya,” kata seorang saksi.

Ketika kejadian, dilaporkan kira-kira 100 orang berada di masjid, dan membantu memberkas suspek sebelum ketibaan polis.

Polis masih menjalankan siasatan dan percaya kejadian tidak mempunyai kaitan dengan keganasan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dalam satu kemaskini status di Twitter, meluahkan kekesalan atas kejadian berkenaan.

“Ini amat mengerikan dan ini tidak sepatutnya berlaku, terutama di tempat ibadat,” tulisnya.

“Saya sedih dengan insiden serangan itu, kejadian tersebut sepatutnya tidak berlaku, terutamanya di tempat ibadat. Semoga mangsa yang terlibat berada dalam keadaan baik,” katanya lagi sejurus selepas kejadian.

Menurut media tempatan, penyerang sering mengunjungi masjid itu. Dia menikam leher mangsa ketika mangsa berada dalam masjid.

Menurut pejabat perangkaan Britain, sebanyak 15,080 kes serangan membabitkan senjata pisau direkodkan di London untuk tempoh 12 bulan hingga akhir September lalu.

 

 

Sumber berita: BERNAMA dan Astro Awani.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *