Bekas ikon demokrasi Aung San Suu Kyi antara beberapa pemimpin utama Myanmar yang dinamakan dalam kes yang difailkan di Argentina semalam berhubung jenayah dilakukan terhadap masyarakat Islam Rohingya.
Kumpulan hak asasi manusia Rohingya dan Amerika Latin memfailkan tuntutan mahkamah itu di bawah prinsip “bidang kuasa sejagat”, iaitu satu konsep undang-undang antarabangsa yang termaktub dalam undang-undang kebanyakan negara.
Tuntutan itu antara lain menyatakan Myanmar melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang mana kekejaman itu mungkin boleh dilakukan di tempat lain juga, bukan setakat di negara itu.
“Aduan ini dilakukan supaya tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku, penyokong dan pihak yang cuba menyembunyikan perbuatan penghapusan etnik tersebut.
“Kami melakukannya di Argentina kerana untuk memfailkan aduan jenayah seperti ini tidak mungkin boleh dilakukan di tempat lain,” kata peguam Tomas Ojea kepada AFP.
Tuntutan itu menuntut pemimpin tentera dan politik, termasuk ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing dan Suu Kyi yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan supaya diheret ke muka pengadilan atas jenayah yang mereka lakukan.
“Selama beberapa dekad, pihak berkuasa Myanmar cuba menghapuskan kami dengan mengurung kami, memaksa kami melarikan diri dari negara asal kami dan membunuh kami,” kata Tun Khin, presiden Pertubuhan Rohingya Burma UK (Brouk).
Mahkamah Argentina sebelum ini pernah menerima kes berkaitan bidang kuasa sejagat, antaranya seperti pemerintahan diktator Francisco Franco di Sepanyol dan pergerakan Falun Gong di China.
Myanmar menghadapi tekanan undang-undang di mahkamah di seluruh dunia atas tindakan mereka mengusir etnik Rohingya pada 2017.
Satu kes berasingan turut difailkan berhubung kekejaman Myanmar semalam oleh The Gambia di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague. – AFP