PBB Bimbang Kemelut Rohingya

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan kebimbangan terhadap 730,000 pelarian etnik Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Guterres menggesa, supaya kerajaan Myanmar bertanggungjawab mengesan punca etnik berkenaan melarikan diri ke Bangladesh dan mencari jalan bagaimana membawa mereka pulang.

“Saya sangat bimbang dengan situasi semasa di Myanmar termasuk di Rakhine. Selain untung nasib pelarian yang kini berdepan dengan kehidupan yang sangat sukar.

“Perkara ini sudah tentu menjadi tanggungjawab Myanmar untuk mencari puncanya dan memastikan persekitaran yang kondusif untuk penghantaran balik pelarian ke Rakhine secara selamat, mengikut norma dan piawaian antarabangsa,” katanya ketika berucap di Persidangan ASEAN, di sini semalam.

Selain itu, Guterres berharap, Naypyitaw mengadakan sesi dialog bersama pelarian Rohingya dan membina keyakinan kepada mereka dalam memastikan usaha kemanusiaan dapat disalurkan di kawasan yang terjejas.

Sementara itu, Pengerusi Persidangan ASEAN dalam satu kenyataan berkata, kumpulan berkenaan telah menyatakan pendirian secara konsensus terhadap masalah etnik Islam Rohingya dan bagaimana cara untuk berdepan dengan situasi itu di Rakhine.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun, tidak memberi perhatian terhadap masalah utama yang dihadapi Bangladesh yang kini terpaksa menerima kehadiran ramai pelarian Rohingya serta masalah untuk menghantar mereka pulang,

Selain itu, kenyataan Pengerusi Persidangan ASEAN turut mendedahkan beberapa perjanjian yang telah dipersetujui melibatkan penghantaran balik, selain mengulangi keperluan mencari jalan penyelesaian komprehensif dan mencipta persekitaran selesa untuk membina kehidupan baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *