Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa supaya mewujudkan suasana yang ‘subur’ dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya di Palestin.
Pemimpin gerakan itu yang juga Ahli Parlimen, Fathi al-Qarawi, dalam satu kenyataan berkata, perkara berkenaan penting untuk dicapai sekiranya satu pilihan raya yang adil mahu dilakukan.
“Jika ada hasrat untuk mengadakan pilihan raya Palestin yang adil membabitkan semua segmen spektrum Palestin, semua arena (penduduk) Palestin mestilah bersedia untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fathi mengutuk kempen penahanan berunsur politik yang dijalankan pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) terhadap penduduk negara itu di Tebing Barat.
Beliau mendesak, kepada pembebasan segera tahanan terbabit dan penamatan kempen penahanan melibatkan aktivis Palestin.
Katanya lagi, proses penahanan turut memberi kesan kepada proses akademik di negara tersebut susulan daripada penahanan ramai pelajar universiti.
“(Tindakan penahanan bagai) pisau beracun tertusuk di belakang badan penduduk Palestin dan kecederaan yang dialami perlu diubati,” katanya.
Baru-baru ini, PA telah memperhebatkan lagi kempen tahanan terhadap rakyat Palestin terutamanya penyokong Hamas atas afiliasi politik mereka. – Agensi