Pakistan Takkan Mulakan Konflik Ketenteraan Dengan India

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berikrar tidak akan memulakan sebarang konflik ketenteraan dengan India, sekali gus memberi amaran risiko kepada dunia mengenai perang nuklear meletus antara jiran negara Asia Selatan berikutan ketegangan di rantau Kashmir.

“Kami adalah dua negara bersenjata nuklear, jika ketegangan meningkat maka ada bahaya kepada dunia. Dari pihak kami, kami tidak akan bertindak terlebih dahulu” kata beliau pada Konvensyen Sikh Antarabangsa di timur Pakistan, Lahore, semalam.

Kenyataan Khan pada mulanya dilaporkan oleh agensi berita Reuters sebagai janji untuk tidak menggunakan senjata nuklear yang pertama, bagaimanapun Kementerian Luar Negeri Pakistan menjelaskan bahawa tidak ada perubahan pada postur pertahanan nuklear Pakistan.

Jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Muhammad Faisal berkata, kenyataan itu telah diambil daripada luar konteks.

“Walaupun konflik tidak sepatutnya berlaku antara dua negara nuklear, tidak ada perubahan dalam dasar nuklear Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketegangan antara India dan Pakistan semakin meningkat sejak India membatalkan status autonomi khas yang diberikan kepada Kashmir yang ditadbir India.

Perkara 370 yang diperoleh rantau Himalaya itu menjamin hak istimewa kepada negara majoriti muslim itu termasuk hak Perlembagaan dan autonomi sendiri untuk membuat undang-undang kecuali mengenai pertahanan, komunikasi dan hal ehwal asing.

Dalam mengetuai keputusan itu, India telah menghantar ratusan ribu askar tambahan bagi ‘memadamkan’ pergolakan di rantau pergunungan itu, mengenakan perintah berkurung dan memutuskan rangkaian komunikasi.

Ogos lalu, Menteri Pertahanan India menimbulkan persoalan mengenai perubahan polisi untuk tidak menggunakan senjata nuklear yang pertama dalam konflik dengan Pakistan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *