China, Rusia Boikot Sidang Promosi ‘Perjanjian Abad Ini’ AS

China dan Rusia mengesahkan tidak akan mengambil bahagian dalam persidangan ekonomi diketuai Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilaksanakan di Bahrain bulan depan, untuk mempromosikan pelan damai Palestin-Israel.

Duta Besar China ke Palestin, Guo Wei memaklumkan penasihat dasar asing kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Shaath bahawa Beijing dan Moscow telah membuat persetujuan untuk memboikot persidangan itu.

Pertemuan itu dilaporkan berlaku di bandar Ramallah di Tebing Barat yang diduduki Israel.

“Keputusan memboikot persidangan Bahrain itu termasuk dalam rangka perjanjian dua hala Rusia-China untuk tidak mengambil bahagian di dalamnya,” kata Wei seperti dilapor agensi berita Palestin Wafa.

Wei menegaskan Beijing berpendirian untuk menyokong rakyat Palestin, termasuk hak mereka terhadap penentuan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur (al-Quds) sebagai ibu negara itu.

Awal minggu lalu, AS mengumumkan rancangan untuk mengadakan persidangan itu di ibu kota Bahrain, Manama, di mana pegawai pentadbiran Trump dijangka akan mengumumkan aspek ekonomi rancangan pelan damai Palestin-Israel itu.

Bagaimanapun, maklumat yang didedahkan menunjukkan bahawa ia membabitkan perlanggaran serius terhadap tuntutan lama Palestin. – Agensi / IW

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *