Netanyahu: Serangan Terhadap Gaza Belum Berakhir

Perdana Menteri rejim Israel Benjamin Netanyahu berkata serangan ke atas Gaza tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Beliau berkata serangan itu dilakukan untuk memastikan keselamatan rakyat Israel.

“Dua hari lalu kami menyerang Hamas dan Jihad Islam dengan kekuatan yang besar, kami mempunyai lebih 350 sasaran, kami menyerang pemimpin dan tempat operasi pengganas dan kami memusnahkan bangunan pengganas,” kata Netanyahu.

“Kempen ini tidak berakhir dan memerlukan kesabaran dan kepintaran, kami bersedia untuk meneruskannya. Matlamatnya adalah untuk terus memastikan ketenangan dan keamanan bagi penduduk di selatan Israel,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh Sputnik pada hari Selasa (07/05).

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, kira-kira 600 roket yang dilancarkan dari Gaza telah menghujani selatan Israel sejak Sabtu. Lebih daripada 250 roket dipintas atau dihalang oleh sistem pertahanan Iron Dome.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyokong tindakan tentera Israel untuk menyerang Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada ratusan roket yang dilancarkan dari wilayah Palestin.

“Sekali lagi, Israel menghadapi serangan roket yang mematikan oleh Hamas dan kumpulan pengganas Jihad Islam. Kami menyokong Israel 100 peratus dalam mempertahankan rakyatnya,” kata Trump.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *