Palestin-Israel: Tiada Lagi Serangan Udara Rejim Israel Selepas Perjanjian Gencatan Senjata

Pegawai Palestin mengatakan pihaknya telah mencapai perjanjian gencatan senjata dengan rejim Israel, bagi menamatkan ketegangan yang berlaku di Semenanjung Gaza dan selatan Israel sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 25 nyawa rakyat Palestin.

Sumber rasmi Gaza mengesahkan bahawa kesepakatan itu dicapai hari ini, dan tiada serangan udara Israel dilancarkan ke wilayah Palestin sebaik perjanjian itu berkuatkuasa.

Pegawai itu berkata, Mesir dan Qatar menjadi ‘pihak tengah’ membantu mengakhiri pertempuran antara Gaza-Zionis sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, setakat ini pihak rejim Israel masih belum mengesahkan mengenai perjanjian itu.

Perdana Menteri di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) – yang berpangkalan di Tebing Barat -, Mohammed Shtayyeh berkata, kerajaan mengalu-alukan sebarang usaha gencatan senjata, terutama usaha dari pihak Mesir.

“Kami berharap usaha ini akan menamatkan tragedi ke atas rakyat di wilayah itu dan memelihara nyawa mereka,” katanya ketika berucap pada mesyuarat kerajaan di Ramallah, hari ini.

Mohammed turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk campur tangan menghentikan pendudukan Israel ke atas Palestin dan menggesa sokongan antarabangsa kepada rakyat di Semenanjung Gaza.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan, jumlah rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan rejim Zionis meningkat kepada 25 orang, manakala 256 yang lain cedera.

Dilaporkan, 60 buah rumah dan bangunan hancur sepenuhnya dan 540 yang lain mengalamai kerosakan akibat serangan udara yang dilancarkan oleh rejim pengganas Israel sejak Jumaat lalu.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *