Angka kematian siri serangan bom di gereja dan hotel di Sri Lanka, semalam meningkat kepada 290 orang, dengan hampir 500 yang lain cedera, kata jurucakap polis hari ini.
Polis berkata, pihaknya akan memeriksa laporan bahawa bahagian perisikan gagal untuk mengesan atau memberi amaran terhadap kemungkinan serangan bunuh diri sebelum insiden keganasan berlaku.
Katanya, pihak berkuasa juga telah menarik balik perintah berkurung di seluruh negara, yang dikuatkuasakan sejak 6 petang semalam (waktu tempatan).
Bagaimanapun, keadaan di sekitar Colombo setakat hari ini masih terjejas akibat serangan dasyat itu, dengan kebanyakan kedai ditutup dan kawalan ketat oleh pihak tentera serta polis di sekitar lokasi kejadian.
Dalam perkembangan lain, polis turut mengesahkan menangkap 13 suspek yang disyaki menjadi ‘dalang’ di sebalik serangan pengeboman itu.
Jurucakapnya, Ruwan Gunasekra dalam satu kenyataan berkata, polis juga telah menemukan kenderaan yang dipercayai digunakan suspek ketika serangan di ibu negara.
“Polis juga menemukan rumah yang dipercayai digunakan suspek sebagai tempat persembunyian dan merangka rancangan serangan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan itu, enam siri letupan bom menggegarkan hotel mewah dan gereja di Sri Lanka tatkala penganut Kristian menyambut Easter Sunday.
Siri serangan bom itu bermula di Gereja St Anthony di Colombo, disusuli lima letupan lagi dalam tempoh setengah jam hingga sejam, termasuk di Negombo, kira-kira 30 kilometer dari sini, dan Batticaloa (250 kilometer di timur Colombo).
Letupan ketujuh menggegarkan hotel berhampiran Zoo Negara, membunuh dua orang, sementara bom kelapan diletupkan di pinggir bandar di Orugodawatta, ketika anggota keselamatan memasuki seuah kediaman untuk menjalankan siasatan.
Letupan itu meruntuhkan bahagian atas kediaman berkenaan, dan membunuh tiga anggota polis.