Kira-kira 99 orang dilaporkan terbunuh dalam letupan di gereja dan hotel di Sri Lanka. Kejadian malang berlaku pada hari Ahad Paskah, 21 April.
Pada mulanya seramai 80 orang dilaporkan cedera. Tetapi menurut laman News18 yang dipetik pada Ahad (21/04), kini sekitar 450 orang telah dibawa ke hospital.
Letupan pertama dilaporkan di Gereja St. Anthony di Colombo dan St. Sebastian di bandar Negombo di luar ibu kota.
Dalam ledakan St. Anthony kira-kira 160 orang yang cedera yang sedang dirawat di Hospital Negara Colombo, demikian menurut pegawai yang dipetik dari The Straits Times.
Tidak lama selepas laporan itu, polis mengesahkan tiga hotel kelas atasan di ibu negara juga disasarkan letupan, bersama dengan satu lagi gereja di bandar Batticaloa, di timur Sri Lanka. Ketiga hotel berkenaan ialah Shangri La Hotels, Cinnamon Grand dan Kingsbury Hotels.
Seorang pegawai di hospital Batticaloa memberitahu AFP bahawa lebih daripada 300 orang telah dirawat selepas letupan berlaku.
Salah seorang mangsa ditemui di Cinnamon Grand Hotel di Colombia, berhampiran kediaman rasmi Perdana Menteri Sri Lanka.
Bloomberg melaporkan bahawa polis dan kenderaan kecemasan telah menyekat pintu masuk ke Shangri-La Hotel di Colombo, di mana kerosakan dilihat, termasuk tingkap pecah, di atas pintu utama di mana sebuah kafe berada.
Sementara itu, Gereja St Sebastian di Katuwapitiya di Negombo memaparkan foto kemusnahan di gereja di halaman Facebooknya, menunjukkan darah di bangku dan lantai, dan meminta bantuan daripada masyarakat.
Menurut laporan Guardian, motif letupan masih belum diketahui.
Dalam sebuah status di Facebook, Gereja St Sebastian di Katuwapitiya di Negombo meminta penduduk untuk datang.
“Serangan bom di gereja kami, sila datang dan membantu jika ahli keluarga anda berada di sana,” menurut satu status dalam bahasa Inggeris di halaman Facebook.
Hanya kira-kira 6 peratus adalah orang Katolik di Sri Lanka, tetapi agama itu dilihat sebagai penyatuan kerana ia termasuk orang-orang dari kumpulan etnik Tamil dan majoriti kumpulan etnik Sinhalese. – Liputan6