Presiden Turki, Recep Taayyip Erdogan menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia atau Ayasofya kepada sebuah muzium merupakan satu kesilapan besar.
Katanya, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.
“Hagia Sophia tidak akan dijadikan muzium. Status itu akan ditukar dan kita akan mula mengenalinya sebagai Masjid Hagia Sophia.
“Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia akan menziarahinya sebagai sebuah masjid,” katanya dalam satu wawancara televisyen pada Khamis.
Bangunan ikonik yang dulunya merupakan sebuah gereja dan masjid serta muzium sering menjadi punca pertelagahan antara Kristian dan Muslim disebabkan aktiviti yang sering dianjurkan oleh masyarakat Islam di premis itu.
Sebelum ini, premis itu membenarkan semua penganut agama untuk bermeditasi dan menikmati keindahan seni bina bangunan berkenaan yang dibangunkan pada kurun keenam.
Ia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Uthmaniah menawan Istanbul atau juga dikenali sebagai Constantinople.
Selepas Empayar Uthmaniah tumbang, negara moden dan sekular Turki ditubuhkan sekali gus menyaksikan masjid itu dijadikan muzium pada 1935.
Erdogan kini sedang dalam fasa berkempen untuk Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pada 31 Mac ini.
“Perancangan menukarkan Hagia Sophia menjadi masjid akan dibincangkan selepas pilihan raya.
“Kami fikir masanya sudah tiba untuk memikirkan langkah seterusnya ekoran kita tahu ada permintaan ke arah itu,” katanya.