Bulan Sabit Merah Turki (Kizilay) menghantar 15 tan bantuan makanan dan keperluan harian ke Mozambique yang terjejas akibat bencana taufan, lapor agensi berita Anadolu.
Bantuan hasil sumbangan beberapa pertubuhan kemanusiaan di Turki itu dihantar menggunakan kapal laut ke wilayah Beira, kawasan yang paling teruk terjejas akibat Taufan Idai, kata Recep Bora Atlihan dari pejabat Kizilay di Maputo.
“Bantuan itu dijangka sampai ke pelabuhan Beira pada Isnin, kata Atlihan.
Beliau berkata, kerja-kerja pengagihan bantuan akan dipercepatkan memandangkan keperluan yang amat mendesak di kawasan terjejas dan berharap usaha itu akan berhasil.
Sementara itu, Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) yang turut menghulurkan sumbangan berkata, bantuan disumbangkan TIKA dapat membantu keperluan sekurang-sekurangnya 600 keluarga selama 10 hari.
Taufan Idai menyebabkan kerosakan teruk di beberapa negara di selatan Afrika dengan Mozambique paling teruk terjejas.
Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 242 orang disahkan maut.
Bagaimanapun, Presiden Mozambique, Filipe Nyusi berkata, angka kematian dijangka meningkat dan kemungkinan mencecah 1,000 orang.
Banyak kawasan di negara itu terpaksa bergelap disebabkan bekalan elektrik terputus dan hampir semua rangkaian telekomunikasi rosak, menurut PBB.
