Sudah Tiba Masa AS Iktiraf Hak Israel Ke Atas Golan Height – Trump

Presiden Amerika Donald Trump berkata bahawa masanya sudah tiba untuk Amerika mengiktiraf dengan sepenuhnya hak Israel terhadap Dataran Tinggi Golan yang dipertikaikan, yang dirampas daripada Syria ketika Perang Enam Hari pada 1967.

Dalam satu tweetnya pada Khamis lalu, Trump berkata Dataran Tinggi Golan “mempunyai kepentingan strategik dan diplomatik yang mustahak kepada negara Israel” dan “keselamatan serantau”. Keputusan beliau akan dilihat sebagai kejayaan politik kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Kementerian Luar Amerika mengeluarkan perkataan “dijajah” daripada Dataran Tinggi Golan dalam laporan hak asasi manusia tahunannya bagi tahun 2018, yang dikeluarkan minggu lalu. Membalasnya di Twitter, Netanyahu berterima kasih kepada Trump kerama “dengan berani mengiktiraf” hak Israel ke atas tanah itu.

Netanyahu sebelum ini pernah menggesa pegawai tinggi Amerika untuk melakukan pengisytiharan itu dan dia dijangka bertemu Trump di White House dalam beberapa hari.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, berkata kesatuan itu “ menyokong sepenuhnya” hak Syria ke atas Dataran Tinggi Golan yang dijajah. Russia juga mengkritik cadangan Trump, berkata ia bertujuan untuk mencetuskan pertelingkahan dengan dunia Arab.

“Russia tidak akan menyokong pengiktirafan seperti itu,” Oleg Morozov, ahli Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Russia dilaporkan berkata.

Trump sentiasa menyokong Israel apabila terdapat pertelingkahan di rantau itu dan tahun lalu mencetuskan kontroversi and kemarahan rakyat Palestin dan orang ramai apabila dia memindahkan kedutaan Amerika di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan berkata Amerika secara rasminya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – RT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *