Angkatan Tentera Yaman telah mengumumkan pembebasan dua daerah di Wilayah al-Bayda dari kawalan militan Takfiri yang disokong oleh pakatan pimpinan Arab Saudi yang berperang ke atas Yaman.
Jurucakap Angkatan Tentera Yaman, Brigadier Jeneral Yahya Saree dalam satu kenyataan pada hari Jumaat berkata pasukan Yaman telah menyelesaikan tahap kedua operasi ketenteraan yang digelar sebagai al-Nasr al-Mobin (Kemenangan Nyata) di al-Bayda, telah membebaskan daerah Numan dan Nate’e dan mengalahkan militan Takfiri yang dikaitkan dengan pasukan gabungan yang dipimpin Arab Saudi.
Saree menyatakan, operasi ketenteraan itu telah menyebabkan ratusan tentera upahan yang disokong Arab Saudi dan militan Takfiri terbunuh dan cedera, sambil menambah bahawa tentera Yaman juga telah menangkap sejumlah militan dan merampas senjata mereka.
Menurut jurucakap itu, tentera Yaman akan membersihkan kawasan yang masih ada di al-Bayda daripada militan dan sebahagian besar kawasan di wilayah itu kini berada di bawah kawalan pasukan Yaman.
Beliau menekankan bahawa pasukan tentera Yaman akan terus melakukan operasi mereka tanpa henti sehingga berakhirnya perang yang dipimpin oleh Saudi dan pembebasan semua wilayah Yaman.
Pada 13 Julai, Saree mengumumkan bahawa pasukan Yaman telah melancarkan tahap pertama Operasi al-Nasr al-Mobin untuk mendorong anggota al-Qaeda dan Daesh keluar dari kubu kuat mereka di al-Bayda.
Sumber berita : Press TV
