Pegawai Israel, Maghribi Adakan Perbincangan Di Rabat

Pegawai Israel berada di ibu negara Maghribi bagi membincangkan cara untuk meningkatkan hubungan, kata kementerian Israel beberapa bulan setelah hubungan disambung semula

 

Diplomat Israel dan Maghribi mengadakan perbincangan di Rabat pada hari Rabu, demikian diumumkan Kementerian Luar Negeri Israel.

“Ketua Pengarah hal ehwal politik @Marocdiplo_EN (Diplomat Kementerian Luar Negeri Maghribi) Fouad Yazourh, mengadakan perbincangan hari ini dengan Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri Israel Alon Ushpiz,” kata kementerian itu di Twitter, tanpa memberikan butiran lebih lanjut.

Ushpiz mendarat di ibu negara Maghribi pada hari Selasa bagi membincangkan cara-cara untuk memperkuat hubungan antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar Negeri Israel.

“Ketua Pengarah MFA (Kementerian Luar Negeri) Alon Ushpiz dalam perjalanan ke Maghribi yang diarahkan oleh Menteri Luar Negeri, Yair Lapid bagi mengadakan dialog politik, bertemu dengan rakan sejawatnya dan pegawai Kementerian Luar Negeri Maghribi untuk membincangkan cara untuk terus maju dalam mempromosikan hubungan dua hala antara negara-negara, “kata kementerian itu di Twitter.

Kunjungan itu dilakukan selepas perbualan melalui panggilan telefon antara Lapid dan rakan sejawatannya dari Maghribi, Nasser Bourita, kata kementerian itu dalam akaun twitter berasingan yang berbahasa Arab.

Israel dan Maghribi mengumumkan penyambungan semula hubungan diplomatik pada 10 Disember setelah hubungan mereka dihentikan pada tahun 2002 berikutan kebangkitan intifada kedua di Palestin.

Maghribi menjadi negara Arab keempat yang menormalkan hubungan dengan Israel pada tahun 2020 selepas UAE, Bahrain, dan Sudan.

Perjanjian normalisasi itu telah mendapat kecaman secara meluas dari rakyat Palestin, yang mengatakan bahawa mereka mengabaikan hak Palestin dan tidak melayani kepentingan Palestin.

 

Sumber berita: Anadolu Agency

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *