Buat pertama kali dalam tempih 16 tahun, penduduk Palestin akhirnya dapat memasuki kawasan Bab al-Rahma yang terletak di dalam kompleks Masjid al-Aqsa atau Haram al-Sharif di Baitulmaqdis, kelmarin.
Ia merupakan laluan pintu masuk dan tangga menuju ke dewan masjid ketida paling suci orang Islam yang telah ditutup oleh pihak berkuasa Israel sejak 2003.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Yayasan Baitulmaqdis yang dikendalikan Jordan mengumumkan pembukaan semula pintu al-Rahma tersebut.
Pengarah yayasan itu, Sheikh Abdul Azim Salhab bertindak membuka pintu dewan itu bagi membolehkan ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat.
Bab ar-Rahma dengan pintu gerbang menggunakan nama yang sama terdiri daripada bangunan besar dan sebuah halaman terletak di sebelah timur al-Aqsa.
Bangunan itu ditutup pihak berkuasa Israel selepas ia didakwa kononnya digunakan oleh penduduk Palestin untuk aktiviti politik.
Perintah itu diperbaharui setiap tahun sebelum mahkamah Israel mengarahkan penutupan bangunan itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan pada 2017.
Pembukaan semula pintu al-Rahma itu bagaimanapun tidak disenangi pihak berkuasa Israel.
Mereka bertindak melancarkan sekatan jalan dan membuka pusat pemeriksaan hingga membawa kepada penangkapan kira-kira 60 penduduk Palestin.
Cubaan pihak berkuasa rejim Zionis itu gagal menghalang penduduk Palestin untuk membuka pintu tersebut dan mengerjakan solat Jumaat.
Susulan perkembangan itu, gerakan Hamas mengeluarkan kenyataan menyifatkan peristiwa itu sebagai ‘kemenangan terbaharu terhadap pendudukan Israel’.
Para jemaah melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Palestin untuk menzahirkan kegembiraan mereka susulan pembukaan kawasan itu.
Bekas mufti Baitulmaqdis, Sheikh Ekrima Sabri turut menyampaikan khutbah pendek dan menegaskan orang Islam tidak akan membenarkan mana-mana pihak menyekat hak mereka di seluruh kawasan al-Aqsa.
Solat Jumaat di Bab al-Rahma berlangsung secara aman selepas Tel Aviv membuat keputusan akhir kononnya enggan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah itu.
“Ia adalah perkara yang indah kerana dapat menuntut semula kawasan milik kita yang disekat selama beberapa tahun,” kata anggota Majlis Wakaf Islam, Khaleel Assali.
Timbalan Ketua gerakan Fatah, Mahmoud Alloul turun memuji tindakan tidak pernah berlaku sebelum ini yangdilancarkan oleh gerakan popular di Baitulmaqdis dan menggesa penduduk Palestin meneruskan perjuangan untuk mempertahankan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.
Sementara itu, pemimpin kanan Fatah, Mohammad Ishtieh berkata, apa yang berlaku di Baitulmaqdis jelas membuktukan kegagalan segala rancangan jahat atau cubaan untuk mengyahudikan Baitulmaqdis.
Ketegangan terus meningkat selepas Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel selain memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.