Laman sesawang antarabangsa yang terkenal dengan penyiaran dokumen-dokumen rahsia, WikiLeaks mendedahkan negara pembuli, Amerika Syarikat (AS) menggunakan instrumen kewangan tertentu untuk mengawal dunia.
Dilaporkan, tentera AS menggunakan institusi kewangan global utama seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai ‘senjata tidak konvensional’.
Pendedahan itu turut mendedahkan, AS menggunakan kaedah seumpama itu untuk kepentingan negaranya.
Dokumen yang diterbitkan pada 2008 bertajuk “Field Manual (FM) 3-05.130, Army Special Operations Forces Unconventional Warfare”, mula mendapat tumpuan selepas kekacauan di Venezuela baru-baru ini, apabila pemimpin pembangkang yang disokong oleh AS, Juan Guaido mendesak Presiden Nicolas Maduro meletak jawatan.
WikiLeaks mendedahkan dokumen itu di halaman Twitter, sambil memperincikan teknik tekanan ekonomi yang diguna pakai Washington selama bertahun-tahun ke atas negara Amerika Selatan.
Dokumen itu melaporkan, institusi global dapat berfungsi sebagai alat perang ekonomi pada saat konflik mulai meletus, sehinggalah ke tahap perang umum berskala besar, malah turut mendedahkan bahawa kaedah perbankan dunia dapat dimanfaatkan untuk mengimbangi dasar dan kerjasama antara kerajaan di seluruh dunia.
WikiLeaks memberi perincian berkenaan seksyen dokumen setebal 248 halaman itu, yang mengkhususkan kepada keadaan di mana Pejabat Kawalan Aset Asing Perbendaharaan AS (OFAC) – yang mengawasi sekatan AS terhadap negara-negara lain – telah lama “melakukan perang ekonomi” yang dianggap perlu untuk kejayaan mana-mana operasi yang berkaitan dengan ARSOF UW.
Dokumen itu menyenaraikan institusi global sebagai lanjutan kuasa politik dan kewangan Amerika serta bahagian penting sistem pemerintahan global semasa Washington.
Untuk makluman, operasi menggunakan senjata kewangan ini pada dasarnya dilulus dan diselia oleh Majlis Keselamatan Kebangsaan AS (NSC), yang kini diketuai oleh John Bolton.
Dalam dokumen sulit itu, ada menghuraikan peranan NSC yang bertanggungjawab mengintegrasikan ekonomi dan ketenteraan bagi mengimbangi naratif geopolitik dunia.
Dalam kes Bank Dunia yang berpusat di Washington, presiden organisasi itu selalunya akan direkrut menjadi warganegara AS, dan dipilih secara langsung oleh Presiden AS.
Washington juga adalah pemegang saham terbesar bank itu, dan oleh itu AS merupakan satu-satunya ahli dengan hak veto. – Agensi
