Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyelar sikap membisu negara pembuli, Amerika Syarikat (AS), terhadap kes pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi pada Oktober tahun lalu.
“Saya tidak faham dengan sikap bisu Amerika… kami mahu segalanya dijelaskan kerana ianya kejam, dan kes pembunuhan.
“Pembunuhan Khashoggi bukanlah perkara biasa,” katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen TRT, yang dikendalikan kerajaan negara itu.
Setakat ini, pasukan penyiasat yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman terbabit sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan Jamal di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Penasihat kepada Erdogan, Yasin Aktay dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu memaklumkan pihaknya telah bertemu dengan pasukan penyiasat PBB yang diketuai Agnes Callamard – yang tiba di Turki untuk menyiasat pembunuhan Jamal.
“Pasukan PBB menganggap putera mahkota Arab Saudi sebagai suspek utama yang bertanggungjawab membunuh Jamal.
“Pasukan itu mengadakan beberapa pertemuan di Turki, termasuk dengan tunang Jamal, dan Callamard juga berhasrat untuk mendengar rakaman audio berkaitan kes itu,” kata Yasin.
Callamard sebelum ini dilaporkan telah dihalang untuk mendapatkan akses ke konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk menjalankan siasatan.
Sebelum ini, Arab Saudi memberi pelbagai versi kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa penulis itu sudah keluar dari pejabat konsulat berkenaan selepas urusannya selesai.
Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan dengan individu yang menemuinya di dalam pejabat konsulat itu dan berkata, 18 suspek kes berkenaan ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat.
Beberapa anggota pasukan pembunuh itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman. – Agensi
