Republik Islam Iran telah mengeluarkan waran tangkap untuk Presiden AS Donald Trump dan puluhan yang lain atas peranan mereka dalam pembunuhan Jeneral Iran Qassem Soleimani pada awal tahun ini. Tehran telah meminta pertolongan Interpol dalam memastikan penangkapan mereka.
Pendakwa Iran Ali Alqaismehr membuat pernyataan itu dalam pertemuan hari ini dengan pegawai kehakiman peringkat tinggi, mengatakan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan untuk 36 individu termasuk ahli politik dan pegawai tentera dari AS dan pemerintah lain.
Tuduhan itu termasuklah “pembunuhan” dan melakukan “tindakan pengganas” kata pendakwaraya itu yang menambah bahawa “Presiden Donald Trump berada di puncak senarai, dan pendakwaannya akan diteruskan walaupun setelah tempoh kepimpinannya berakhir.”
Berpusat di Lyon, Perancis, Interpol tidak memberi respon untuk membuat komen, namun tidak mungkin ia bertindak atas permintaan Iran sebagaimana garis panduannya yang menyatakan melarang badan itu “melakukan campur tangan atau kegiatan politik”.
Bekas ketua Pasukan Quds yang merupakan satu unit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Soleimani terbunuh bersama timbalan ketua Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) Iraq, Abu Mahdi Al-Muhandis dalam serangan dron AS yang mensasarkan mereka sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada 2 Januari setelah melakukan perjalanan antarabangsa.
Serangan itu mendapat pembalasan pantas dari IRGC dengan serangan peluru berpandu balistik yang mensasarkan tentera Amerika di Iraq, manakala PMF pula telah berjanji untuk melakukan tindak balas sendiri atas pembunuhan Al-Muhandis.
https://youtu.be/2I-rAQNvg_0
Sumber berita: Middle East Monitor
Video: Buletin: TV3
